CIMB-Principal Islamic lancar dana sukuk global pertama M’sia

CIMB-Principal Islamic lancar dana sukuk global pertama M’sia

KUALA LUMPUR, 18 Sept – CIMB-Principal Islamic Asset Management (Ireland) Plc mendapat kelulusan daripada Central Bank of Ireland untuk melancarkan Global Sukuk UCITS Fund, dana global pertama Malaysia di bawah struktur dana Sekuriti Boleh Pindah Untuk Pelaburan Kolektif (UCITS).

CIMB-Principal Islamic Asset Management Sdn Bhd (CIMB-Principal Islamic) dalam satu kenyataan berkata ia akan bertindak sebagai pengurus pelaburan dan pengedar induk dana tersebut.

“Dana tersebut membuktikan sokongan berterusan CIMB-Principal ke arah membangunkan Malaysia sebagai hab bagi produk kewangan Islam di peringkat global,” kata syarikat itu.

Dana dalam nilai AS dolar itu akan memaksimumkan jumlah pulangan bagi tempoh jangka sederhana dan panjang menerusi kombinasi pertumbuhan modal dan pendapatan dengan melabur terutamanya dalam pelbagai portfolio sekuriti pendapatan tetap patuh Syariah (sukuk) yang diterbitkan oleh kerajaan dan entiti berkaitan kerajaan, korporat atau entiti supranasional yang berpangkalan terutamanya di Timur Tengah dan Asia. Ketua Pegawai Eksekutif CIMB-Principal Islamic Datin Seri Norashikin Mohd Kassim berkata dana itu akan menarik pelabur yang mencari pelaburan beretika dengan pulangan stabil dalam mata wang utama, sebagai contoh, dolar AS, dengan memanfaatkan sukuk penerbit utama, kebanyakannya kredit kerajaan dan kredit berkaitan kerajaan di Timur Tengah dan Asia.

“Kami percaya sukuk menawarkan pulangan risiko terselaras yang kukuh dan pelbagai manfaat kepada pelabur berikutan naik turun yang rendah dan perkaitan yang lebih rendah dengan ekuiti konvensional dan pendapatan tetap,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA