CIMB raih anugerah

CIMB raih anugerah

KUALA LUMPUR, 9 Okt – CIMB Group meraih anugerah Bank Pelaburan Paling Inovatif di Asia Pasifik pada Anugerah Perbankan Pelaburan 2016 yang berprestij oleh majalah pelaburan terkenal, The Banker yang berpangkalan di United Kingdom untuk kali kedua.

Kali pertama kumpulan perbankan itu memenangi anugerah tersebut pada 2012.

“Kami berbangga untuk menerima anugerah bagi Bank Pelaburan Paling Inovatif di Asia Pasifik daripada The Banker,” kata Ketua Eksekutif Kumpulan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dalam kenyataan hari ini.

Katanya pengiktirafan itu juga bukti kepada keyakinan pelanggan yang berterusan kepada keupayaan CIMB untuk menyampaikan dan melaksanakan penyelesaian perbankan pelaburan yang terbaik untuk keperluan mereka.

The Banker, sebahagian daripada Financial Times Group, menyediakan risikan mengenai kewangan dan ekonomi untuk sektor kewangan dunia.

Menurut kenyataan itu, Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak hadir untuk menerima anugerah tersebut pada majlis penyampaian anugerah itu di London baru-baru ini.

Antara urus niaga utama bagi CIMB di rantau Asia Pasifik termasuklah pengambilalihan Axiata Group Bhd sebanyak 80 peratus kepentingan ekuiti dalam pengendali mudah alih utama Nepal, Ncell Pte Ltd, bernilai RM5.9 bilion, dan CIMB merupakan penasihat utama.

Dalam pasaran modal ekuiti, urus niaga utama adalah tawaran awam permulaan Red Star Macalline Group bernilai AS$931 juta di Papan Utama Bursa Saham Hong Kong, dan CIMB Investment Bank satu-satunya penaja jamin di Asia Tenggara, melaksanakan bersama dengan CIMB Securities sebagai penaja jamin bersama dan pengurus utama bersama.

Urus niaga utama lain bagi CIMB pada tahun ini termasuklah Sijil Amanah AS$1.0 bilion di bawah prinsip Syariah Wakala oleh Kerajaan Hong Kong (Pengurus, Penaja Jamin dan Penasihat Syariah Utama), program sukuk RM1.0 bilion diwujudkan di bawah rangka kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab, serta Kemudahan Jaminan Kredit dan Pelaburan pertama (CGIF) – menjamin bon diterbitkan oleh Thai Corporate (bon luar pesisir pertama IVL Singapore Pte. Ltd yang diterbitkan di luar Thailand dengan nilai SG$195 juta). – Bernama