Cinta dan kas...

Cinta dan kasih yang terungkai

Oleh Akmawanny

 

“ADIK, bangun. Nanti lewat pergi sekolah,” kejut emak. “Ya mak, adik dah bangun ni.” Jam menunjukkan 6.00 pagi. Seperti biasa, aku bangun untuk mandi, solat subuh dan sarapan. Hari ini merupakan hari pertama persekolahan di sekolah baru. Selepas mendapat keputusan PMR, aku memohon untuk memasuki Sekolah Menengah Teknik. Dan Alhamdulillah permohonan aku diterima.

Hari ini adalah hari Rabu. Dan cikgu Airin iaitu guru Bahasa Melayu akan membawa kami sekelas ke perpustakaan selama satu jam. Setelah aku mengambil buku kegemaran aku iaitu buku sastera, aku mengambil tempat duduk di sebelah Nurull. “Kau ambil buku apa tu Nurull?” soalku. “Aku ambil buku ini,” sambil menayangkan giginya, Nurull menunjukkan buku yang diambil tadi. Sedang leka aku membaca buku, tiba-tiba aku terasa seperti ada sesuatu yang menghalang pandangan aku dari tepi. ‘Apahal mamat ni berdiri tercongok kat tepi aku sambil tersengih?’ hatiku tertanya. “Hai, saya nak berkenalan dengan awak boleh?” ujar lelaki itu.

Eh, tidak ada ribut, tiba-tiba sahaja dia berkata begitu. Entah bagaimana, secara spontan aku meneruskan pembacaan tanpa memandang atau memberi respon pada pertanyaan lelaki itu seolah tiada apa yang berlaku.

Malam itu sedang aku menelaah pelajaran, telefonku berbunyi. Ada nombor yang tidak dikenali menghubungiku. Pada awalnya aku tidak mahu mengangkat, tetapi mana tahu kalau ada hal penting. “Assalamualaikum. Siapa ni?” “Waalaikumsalam. Merdunya suara Lisa dalam telefon.”

“Err, siapa ni?” aku terkesima. “Saya Aqil.”

“Hei, tak cukup kau kacau aku dekat sekolah, sampai ke telefon pun kau masih nak kacau aku?” soalku dengan geram. Aqil, iaitu pelajar dari tingkatan 5 Mekanikal dan merupakan pelajar yang agak nakal di sekolah. Dia juga merupakan mamat yang ingin berkenalan denganku di perpustakaan tempoh hari. Selepas tidak dilayan, setiap hari Aqil akan memanggil-manggil namaku di khalayak ramai sampaikan aku malu dan marah padanya. Tapi aku hairan, bagaimana dia tahu nama aku?

“Kau nak apa? Macam mana kau tahu nombor telefon aku? Siapa yang bagi pada kau?” soalku lagi. “Lisa ni soal saya dah macam senapang patah. Laju saja,” Dari hujung telefon aku mendengar dia ketawa. Lawak sangat ke soalan aku tadi? “Saya dapat nombor telefon Lisa dari Zati, kakak angkat awak.”

“Jadi kau yang upah Kak Zati?” aku masih tidak puas hati. “Saya minta tolong dari dia sebab saya ikhlas nak kenal dengan Lisa. Saya minta maaf kalau buat Lisa marah,” tanpa memperdulikan lagi katanya, aku terus meletakkan telefon. Malas hendak melayan.

Menjelang peperiksaan SPM, Aqil hilang secara tiba-tiba. Dia langsung tidak menghubungi aku. Malah telefonnya juga tidak aktif. Apa sudah jadi? Mana Aqil menghilang? Kenapa? Berbagai soalan bermain di benakku. Akhirnya aku duduki peperiksaan SPM dengan perasaan berbelah bagi. Tapi aku gagahi juga kerana apa yang penting adalah keputusan yang bakal keluar nanti dapat membanggakan keluarga aku dan menjamin masa depan seperti yang mereka inginkan.

Setelah tamat peperiksaan SPM, dengan keputusan yang cemerlang telah melayakkan aku untuk melanjutkan pelajaran ke matrikulasi. Seterusnya menyambung pengajian ke peringkat ijazah di Universiti Kebangsaan Malaysia. Lagi setahun aku akan menamatkan pengajianku di sini. Pejam celik sudah tiga tahun Aqil menghilang tanpa khabar berita. Setiap hari selepas solat, selain keluarga dan saudara seagamaku, aku akan mendoakan kesejahteraan Aqil walau di mana dia berada. Walau Aqil sudah melupakan aku. Sejak kehilangan Aqil, aku baru sedari yang aku sudah mula menyayangi Aqil. Tapi apa yang harus aku buat? Bukan tidak ada yang cuba dekati aku, tetapi hati aku belum terbuka untuk sesiapa selain Aqil.

Setibanya di The Mines, kami terus menuju ke Giant untuk membeli barang dapur. Setelah selesai membuat pembayaran, kami pergi ke butik pakaian Nichii. “Kak Mai, Lisa tunggu akak dekat luar ok.” Selepas Kak Mai setuju, aku keluar untuk mencari tempat duduk. Tiba-tiba aku terdengar satu suara yang cukup aku kenali. Aqil! “Ok, sekejap lagi aku sampai. Aku masih di The Mines dengan ibu. Nanti aku telefon kau semula,” ujar lelaki itu. Setelah lelaki itu mematikan telefon bimbitnya itu, dia menoleh ke arahku dengan pandangan yang kehairanan. Aku terkejut. Tanpa sedar, air mataku gugur.

“Cik, are you okay?” soal lelaki itu. Ya ALLAH, begini sekali Aqil membuang aku dari hidupnya. “Aqil kan? Awak Aqilkan?” soalku gugup. “Ya, saya Aqil. Dan cik ni siapa? Kita pernah berjumpa ke?” Aku terkejut sekali lagi mendengar soalannya. Setelah itu , kami didatangi seorang wanita tua yang aku kira usianya dalam lingkungan 50an. “Along, kenapa ni?” soal wanita tua itu. “Entah la ibu. Along tak kenal dengan wanita ini. Cik, cik ok ke?” Aku terdiam kaku. Aku tidak tahu apa yang harus aku katakan. Telefon Aqil berdering lagi. “Ibu, Along nak jawab telefon sekejap.”

Setelah Aqil berlalu, wanita tua itu menegurku. “Anak ni siapa nama?”

“Nama saya Lisa makcik.”

“Lisa kenal Aqil?” soalnya lagi. Selepas dipelawa duduk, aku menjawab pertanyaan wanita itu. “Ya makcik, saya kenal Aqil. Kami berkawan dan pernah bersekolah di sekolah yang sama. Tapi Aqil sudah tidak ingat saya, Aqil sudah lupakan saya,” jawabku sebak. “Jangan begitu Lisa. Aqil tidak sengaja lupakan kamu.” “Tidak sengaja? Apa maksud makcik? Lisa tak faham.”

“Tiga tahun yang lepas, Aqil kemalangan bersama ayahnya. Kereta yang mereka naiki bertembung dengan lori. Aqil koma 4 bulan. Disebabkan kemalangannya itu, Aqil mengalami kecedaraan teruk di kepala yang menyebabkan Aqil hilang ingatan. Dia hanya mengingati perkara sehingga dia berumur 13 tahun. Seterusnya dia tidak ingat siapa dirinya.” ‘Owh, waktu itu kami belum kenal lagi.’ “Macam mana dengan ayah Aqil?”

“Suami makcik tidak dapat diselamatkan. Ayah Aqil tersepit waktu kemalangan dan doktor sahkan ayah Aqil meninggal di tempat kejadian.”

“Lisa minta maaf. Lisa tak tahu langsung tentang hal ini.”

“Tak mengapa Lisa. Makcik faham. Lagi pula perkara sudah lepas,” tabah sungguh hati wanita ini, detik hatiku. “Makcik tidak kenal Lisa, tapi makcik tahu Lisa adalah seseorang yang sangat bermakna dalam hidup Aqil. Ini nombor telefon makcik. Bila Lisa ada masa nanti, telefon makcik.” “Ibu, jom kita balik. Along ada hal penting nak jumpa Azam,” ujar Aqil pada ibunya. Selepas menyalami makcik itu, ibu Aqil berbisik sesuatu padaku. “Hanya Lisa yang boleh kembalikan ingatan Aqil sepenuhnya.” Aku hanya tersenyum walau hatiku tertanya-tanya. Sebelum mereka hendak beredar, Aqil menoleh padaku. Seketika aku terkaku.

Semenjak perbualan aku dan ibu Aqil tempoh hari, aku tiba di rumah Aqil setelah dipelawa oleh ibunya. Mulanya aku tidak mahu menerima tetapi aku tidak sampai hati menolak. Ibu Aqil ada bercerita yang dia terjumpa gambar aku di salah satu buku simpanan Aqil. Di belakang gambar tersebut tertulis ‘D, Aqil akan sayang D sampai nyawa Aqil ditarik Yang Maha Esa.’ Aku terharu lalu aku menerima pelawaan ibu Aqil kerana niatku hanya la ingin Aqil kembali pulih sepenuhnya.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam. Along dah balik kerja ya. Ini ibu kenalkan Lisa,”
aku mengangguk seraya tersenyum. Aku cuba berlagak tenang walau hakikatnya dadaku seakan hendak pecah melihat renungan Aqil yang tajam. “Awak ni perempuan yang saya jumpa di The Mines kan?” soalnya. “Ya saya.”

“Along ingat Lisa tak? Lisa pernah satu sekolah dengan Along. Along, ibu nak ke dapur buat minuman. Sementara itu, kamu berbual dahulu dengan Lisa.”

“Banyak yang saya masih tak ingat. Tentang sekolah, rakan-rakan. Banyak.” “Tak mengapa. Lisa boleh tolong Aqil. Itu pun kalau Aqil izinkan.”

“Bagus cadangan itu. Boleh juga saya berkenalan dengan Lisa lebih dekat,” aku terkejut. Nakalnya masih tidak berubah. Tetap sama seperti dulu. Cuma memorinya saja yang belum pulih. Dari dapur, sepasang mata yang melihat perbualan kami tersenyum. Alhamdulillah, semoga Along dapat menerima Lisa kembali dalam hidupnya. Dari hari ke hari, aku cuba bantu Aqil sedaya aku. Tetapi ada kalanya Aqil kelihatan seolah putus asa untuk pulih kerana tidak mengingati apa yang aku cuba terang dan tunjukkan padanya.

Sedang aku mengelamun memikirkan Aqil, telefonku berdering. Panggilan dari kampung. “Assalamualikum mak. Sihat?” “Waalaikumsalam. Mak sihat. Anak manja mak ni bagaimana? Sihat? Kenapa suara macam lemah saja?”

“Adik sihat mak. Cuma demam sikit saja. Mak jangan risau. Ada apa mak telefon adik?” soalku. “Adik, semalam ada orang datang rumah bawa rombongan meminang.”

“Meminang? Pinang siapa mak?”

“Ish budak ni. Pinang adik la. Takkan pinang mak pulak.”

“Tapi mak, adik kan masih belajar. Takkan pula nak kahwin?”

“Alah, adik kan tinggal 1 semester. Lepas tu tamat pengajian. Lagipun mereka orang baik-baik. Nama anak mereka Haziq. Dia kerja sebagai arkitek. Elok sangat la tu kan.”

“Tapi mak….” Belum sempat aku nak selamatkan diri, mak dah memintas kataku. “Mak tak kira. Mak dah terima pinangan mereka. Hujung bulan depan adik kahwin.” Klik. Mak terus mematikan telefon. Aku mengeluh. Masalah hatiku belum pulih, ditambah pula masalah lain. Mungkin sudah takdir hidupku begini rupa. Bercinta selepas kahwin. Pilihan keluarga mungkin yang terbaik untukku. Haziq… nama bakal suamiku.

Sedang melihat wajahku di cermin, aku seakan tidak percaya yang sebentar lagi aku akan menjadi milik orang lain. Ya ALLAH, kau tabahkanlah hati hambamu ini Ya ALLAH. “Adik, mari keluar. Rombongan pihak lelaki dah sampai,” mak bersuara. Aku tidak dapat melihat wajah pengantin lelaki dengan jelas kerana dia dikelilingi para tetamu. Aku hanya menundukkan kepala dan mendengar setiap butir bicara tok kadi. “Aku nikah akan di kau dengan Alisa Diandra binti Emran dengan mas kahwin senaskah Al-Quran.”

“Aku terima nikah Alisa Diandra binti Emran dengan mas kahwin senaskah Al-Quran.”

“Sah, semua sah? Alhamdulillah.”

Kenapa aku terasa seperti kenal suara itu? Adakah? Tatkala pengantin lelaki menyarungkan cincin ke jariku, aku terkesima. “Assalamualaikum wahai cinta,” Aqil memberi salam. Tumpah air mataku tatkala itu. “Syuhhh. Ini hari bahagia kita. Jangan bazirkan air matamu sayang,” Aqil memujuk. Setelah selesai semuanya dan para tetamu pun beransur pulang, aku meminta izin untuk masuk ke bilik untuk menukar pakaian. Sampai di bilik, aku melihat Aqil sedang duduk di tepi katil sambil senyum ke arahku. “Cantik isteri abang hari ini.” usiknya. “Kenapa D senyap saja dari tadi?”

D? Akhirnya Aqil ingat juga. “Kenapa tipu D?”

“Abang tak pernah tipu D dan takkan pernah. Selepas peristiwa di sekolah hari itu, abang terjatuh tangga ketika di rumah. Selepas beberapa hari, baru ingatan abang pulih sepenuhnya. Sebab itu abang minta tolong dari ibu untuk cari alamat rumah D. Abang nak masuk pinang D. Abang takkan siakan D lagi. Hampir 4 tahun abang terlepas banyak masa bersama D. Dan abang nak kehidupan abang yang akan datang terisi dengan kehadiran D sebagai isteri abang yang sah,” jelasnya.

Aku menangis mendengar penjelasannya. Nampak telus. “Abang berdoa agar hubungan kita kekal sampai ke syurga. Abang sayangkan D,” katanya lagi sambil memelukku erat. “D pun sayangkan abang. Abang jangan tinggalkan D lagi. Kalau tak, D pukul abang.” “I won’t my darling,” bisik Aqil. “Tapi abang, mak kata bakal suami D namanya Haziq. Tapi nama abang Aqil. D keliru.”

“Nama suami sendiri pun tak tahu kan sayang ni. Nasib la sayang. Kalau tak, abang dah cubit hidung D yang mancung ni. Haziq tu abang la. Nama penuh abang, Aqil Haziq bin Azman.” Ya Allah. What a small world. “Yela, biasa D panggil abang dengan nama Aqil. Tak pernah tahu nama penuh abang. Bukan penting pun,” ujarku dengan nada perlahan.

“Apa sayang cakap tadi? Tak penting? Meh sini,” Aqil mencubit hidungku. “Sakit la abang. Penyek hidung D nanti. Dah tak comel tau.” Aqil hanya tertawa melihat keletahku. “Bagi abang, D sentiasa cantik dan sempurna pada mata abang. Dari abang Tingkatan 5 sampai kita dah ada cicit nanti,” ucapnya sambil mencium dahiku. Lama.