Cinta tiga segi kejutkan dunia tenis

Cinta tiga segi kejutkan dunia tenis

LONDON, 14 Ogos (AFP) – Bagaikan filem Hollywood, bintang remaja Croatia, Donna Vekic terperangkap dalam kisah cinta tiga segi yang mengejutkan tenis dunia apabila dikaitkan menjalin hubungan dengan dua lelaki iaitu pemain No. 5 dunia, Stanilas Wawrinka dan pemain remaja Australia, Thanasi Kokkinakis.

Pendedahan tersebut dibuat oleh pemain kontroversi Australia, Nick Kyrgios dalam tindakan yang disifatkan Wawrinka sebagai tidak bermoral ketika kedua-dua mereka sedang bersaing pada kejohanan Piala Rogers di Motreal, Kanada semalam.

Kyrgios dengan sengaja mendedahkan mengenai hubungan Vekic dan Kokkinakis dengan niat untuk menjatuhkan semangat Wawrinka sebaik saja dia tewas kepada bintang Switzerland itu dalam set pembukaan.

Kelakuan Kyrgios, 20, disiar secara langsung di televisyen, di mana dia dilihat menghampiri Wawrinka di jaring untuk memberitahu: “Kokkinakis tidur dengan teman wanita kamu, maaf kerana terpaksa beritahu perkara ini.”

Kenyataan Kyrgios jelas merujuk kepada Vekic, kerana hanya pemain berusia 19 tahun itu saja yang dikaitkan dengan Wawrinka dan Kokkinakis.

Wawrinka yang berang kemudian menyerang balas pemain tersebut di Twitter sejurus tamat perlawanan, sambil menggesa badan tenis dunia agar mengambil tindakan terhadap Kyrgios.

“Sangat mengecewakan apabila melihat seorang rakan atlet tidak pandai menghormati orang lain, cara yang dilakukannya adalah sesuatu yang tidak pernah saya bayangkan selama ini.

“Pesanan saya kepadanya, hentikan daripada merendahkan diri sendiri seperti ini, tindakannya tidak boleh diterima, malah tidak masuk akal.

“Kita tidak perlukan orang seperti ini di atas gelanggang dan saya harap badan sukan dunia dapat melakukan sesuatu. Mereka perlu bertegas dalam soal integriti sukan, kami telah bekerja keras selama ini untuk membina imej yang bagus buat sukan tenis,” kata Wawrinka.

Kyrgios ketika ditanya mengenai perkara itu berkata: “Dia (Wawrinko) nampak tidak senang dengan saya, keadaan seperti panas. Saya tidak tahu mengapa, saya cuma memberitahunya.”

Menurut Wawrinka, 30, dia cuba berdepan dengan Kyrgios selepas perlawanan untuk bercakap mengenai perkara itu, namun pemain Australia tersebut cuba mengelakkan diri daripada bertemu dengannya.

“Saya harap ATP (Persatuan Tenis Profesional) ambil tindakan terhadapnya. Mungkin dia masih muda, namun itu bukan alasan.

“Dia selalu menimbulkan masalah dalam setiap perlawanan. Ini bukan kali pertama dia berkelakuan buruk.

“Masalahnya, dia tidak hanya berkelakuan buruk terhadap dirinya sendiri, malah melakukannya kepada orang lain, pemain lain, budak-budak pengutip bola, malah pengadil perlawanan,” katanya lagi.

Wawrinka menang 7-6 (10/8) dalam set pertama, tetapi tewas 3-6 pada set kedua, sebelum menarik diri ketika ketinggalan 0-4 akibat kecederaan.