Cintai Aku Kerana Allah johan nasyid

Cintai Aku Kerana Allah johan nasyid

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Pentas Perayaan di Daerah Tutong juga tidak ketinggalan dimeriahkan dengan acara bercorak keagamaan seperti Pertandingan Akhir Lagu-Lagu Dakwah bagi Sekolah-Sekolah Ugama di Daerah Tutong bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69, yang diadakan malam tadi.

Kumpulan dari Sekolah Ugama Penanjong dengan lagunya Cintai Aku Kerana Allah dan Kumpulan Sekolah Ugama Kiudang dengan lagu Mari Berzikir, masing-masing menjuarai kategori lelaki dan perempuan pertandingan berkenaan.

Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong, Awang Hassan bin Amat selaku tetamu kehormat majlis.

Pertandingan yang diadakan buat kali keenam ini dikendalikan oleh Bahagian Pengajian Islam, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong dan dibukakan kepada pelajar sekolah-sekolah ugama di Daerah Tutong.

Awang Hassan ketika menyampaikan hadiah kepada para peserta Pertandingan Lagu-Lagu Dakwah bagi Sekolah-Sekolah Ugama di Daerah Tutong.
Awang Hassan ketika menyampaikan hadiah kepada para peserta Pertandingan Lagu-Lagu Dakwah bagi Sekolah-Sekolah Ugama di Daerah Tutong.
Peserta dari Sekolah Ugama Penanjong dengan lagunya ‘Cintai Aku Kerana Allah’ juara dalam pertandingan nasyid Kategori Lelaki.
Peserta dari Sekolah Ugama Penanjong dengan lagunya ‘Cintai Aku Kerana Allah’ juara dalam pertandingan nasyid Kategori Lelaki.
Peserta dari Sekolah Ugama Kiudang dengan lagunya ‘Mari Berzikir’ johan bagi kumpulan Nasyid Perempuan.
Peserta dari Sekolah Ugama Kiudang dengan lagunya ‘Mari Berzikir’ johan bagi kumpulan Nasyid Perempuan.

Pegawai Pengajian Islam Daerah Tutong, Hajah Norhayati binti Haji Sawal berkata pertandingan ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan 23 kumpulan telah ikut serta dalam peringkat saringan, bagaimanapun hanya 14 kumpulan sahaja yang berjaya masuk ke peringkat akhir.

Ia antara lain bertujuan untuk menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di samping memberi peluang dan pendedahan kepada pelajar-pelajar sekolah ugama melalui penampilan dalam mempersembahkan lagu-lagu dakwah.

Selain itu, pertandingan itu juga bertujuan untuk mencungkil dan mengasah bakat pelajar-pelajar melalui pertandingan bercorak keagamaan serta mengeratkan silaturahim di antara sekolah-sekolah ugama Daerah Tutong.