Cintai khazanah lama

Cintai khazanah lama

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Dalam usaha menghargai dan mencintai khazanah lama, kita haruslah serius mengkaji dan meneliti satu-persatu warisan budaya ini agar dapat didokumentasikan dan diterbitkan untuk manfaat generasi kini dan akan datang.

Perkara ini ditekankan oleh Pemangku Pengarah Kebudayaan dan Kesenian, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Hajah Fatimah binti Haji Aji ketika berucap merasmikan Bengkel Asas Memulihara dan Mentransliterasikan Manuskrip Melayu Tahun 2015, anjuran Pusat Pengkajian Borneo (PenBORNEO) hari ini.

Menurut beliau, manuskrip Melayu merupakan hasil karya penulisan dalam tulisan Jawi, yang melambangkan ketamadunan dan intelektual cendekiawan Melayu dahulu dan menjadi khazanah warisan budaya yang menyumbang kepada perkembangan kebudayaan, kesusasteraan dan peradaban bangsa Melayu yang kaya dengan pelbagai ilmu.

“Ia yang mempunyai ruang lingkup yang sangat luas iaitu meliputi bidang sastera, sejarah, budaya, undang-undang, ilmu perubatan dan sebagainya, yang sememangnya sangat berguna kepada generasi masa kini dan masa yang akan datang” ujarnya lagi.

Menurutnya lagi, melalui penulisan dan penghasilan manuskrip masyarakat Melayu silam ini juga dapat memberikan pengajaran, panduan dan contoh dan tauladan dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

Hajah Fatimah ketika berucap semasa merasmikan bengkel tersebut.
Hajah Fatimah ketika berucap semasa merasmikan bengkel tersebut.

Beliau kemudiannya menyatakan harapan supaya lebih ramai lagi pengkaji untuk membuat pengkajian tentang manuskrip Melayu yang masih tersimpan di institusi-institusi tertentu seperti Arkib Negara Brunei Darussalam, Dewan Bahasa dan Pustaka, dan institusi lain dalam dan luar negara.

“Saya berharap lebih banyak usaha seperti bengkel ini diadakan secara berterusan, dan disarankan supaya PenBORNEO dan juga institusi yang mempunyai koleksi manuskrip akan terus mempergiatkan lagi usaha murni dalam memelihara dan memulihara bahan manuskrip Melayu ini serta bekerjasama dengan institusi penyelidikan yang lain dalam memantapkan kajian manuskrip Melayu ini,” tambahnya.

PenBORNEO perlu lebih gigih dalam meneroka pembaharuan program dari segi menyebarluaskan koleksi manuskrip Melayu dengan menggunakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Ia akan dapat memudahkan lagi dalam usaha menyalurkan hasil penemuan penyelidikan, pengkajian dan penganalisisan sejarah manuskrip Melayu di Kepulauan Borneo ini untuk pengetahuan umum.

“Kerja-kerja pendigitalan bahan manuskrip juga perlu dilakukan bagi membantu menjaga keselamatan dan memelihara maklumat di dalamnya yang sangat berguna untuk rujukan, kajian dan simpanan serta memudahkan akses kepada orang ramai,” tambah beliau lagi.

Beliau turut menyarankan, bengkel seumpama ini amat dialu-alukan untuk memberigakan manuskrip Melayu sebagai bahan kajian yang perlu dipelihara dan dipulihara untuk dijadikan bahan rujukan dan kajian.

Justeru itu, bengkel ini diharap dapat membuka minda dan mewujudkan semangat kesedaran dan kepentingan manuskrip Melayu sebagai sumber sejarah dan semoga perolehan dari bengkel ini akan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya supaya menjadi panduan khususnya generasi kini untuk merancang wawasan ke arah pembangunan belia yang cemerlang.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada penBORNEO kerana berjaya menganjurkan bengkel ini dan setinggi-tinggi tahniah ditujukan kepada ahli-ahli jawatankuasa kerja yang terlibat, para pembengkel, para media massa dan Radio Televisyen Brunei atas kerjasama serta komitmen yang diberikan dalam sama-sama menjayakan bengkel ini.

ARTIKEL YANG SAMA