Cipta kejayaan di bumi Sabah

Cipta kejayaan di bumi Sabah

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Sept – Mohamad Norhidayat bin Haji Abdul yang berasal dari Kampung Pengkalan Batu tampil sebagai pemenang dalam perlawanan keenam dalam Jessleton Fighting League menumpaskan Kishan dari India di One Borneo Hypermall di Kota Kinabalu, Sabah, semalam.

Beliau yang bertugas dengan Angkatan Tentera Laut Diraja Brunei, berusia 26 tahun; ketika dihubungi menegaskan penyertaan dalam liga berkenaan bermula empat tahun lalu atas nasihat rakan yang juga merupakan jurulatih peribadinya Eazy Anuar.

“Beliau (Eazy) merupakan rakan seperjuangan dalam pasukan tinju kebangsaan sebelum ini memberikan perangsang kepada saya untuk menyertai kejohanan ketika saya menyertai ‘Bushido Brazilian Jiujitsu’ sebelum ini,” ujarnya.

Menurutnya, perlawanan semalam adalah yang kedua disertainya namun beliau sudah banyak menyertai kejohanan Jiujitsu antarabangsa antaranya di Filipina dan Singapura sebelum ini selain pernah berlatih di Phuket Thailand bagi menajamkan kemahirannya.

Katanya lagi, beliau berhijrah ke seni bela diri Jiujitsu bagi mendapatkan cabaran yang lebih dan perubahan itu tidak sukar kerana kemahiran tinju banyak memberikan beliau kelebihan dalam perlawanan.

Mohamad Norhidayat ketika bersua dengan lawan sebelum perlawanan.
Mohamad Norhidayat ketika bersua dengan lawan sebelum perlawanan.

“Pada perlawanan pertama saya menewaskan peserta dari Malaysia iaitu Effendy Kalai yang pada saya pendedahan yang sangat berguna kerana beliau seorang pejuang yang saya hormati,” ujarnya menceritakan pengalaman pertamanya dalam JFL.

Menurutnya lagi, perasaan takut dan gemuruh pastinya sebahagian daripada norma kita sebagai manusia namun baginya sokongan dan dorongan rakan sebaya dan ahli kumpulan banyak memberikan perangsang di samping sokongan dan doa ibu bapa serta keluarga.

“Rakan-rakan dalam latihan banyak memberikan pendapat dan saranan dan membolehkan saya menggunakan cara serangan dan pertahan yang versatil dan ia membantu saya meningkatkan tahap keyakinan sendiri,” tegasnya lagi.

Menurutnya, perasaan takut bukan mudah dikikis namun beliau menanamkan semangat untuk tidak mengecewakan mereka yang memberikan dorongan kepadanya dan padanya kemenangan yang diperolehnya merupakan hasil daripada sokongan mereka.

“Set minda perlu dibentuk sebelum bertarung dan kita perlu melupakan diri kita seharian untuk memperoleh kejayaan di samping sentiasa bertawakal kepada Allah SWT bagi memperkukuhkan semangat kerohanian yang juga penting,” ujarnya.

Beliau yang sememangnya menggemari sukan lasak seperti ini menegaskan minda kita mampu mempengaruhi apa saja termasuk keberanian dan ketakutan dan itu yang perlu dikawal di samping persediaan rapi dengan meneliti dan mempelajari gerak geri rakaman video pihak lawan sebelum turun bertarung.

“Saya akan mempelajari gerak geri dan serangan yang sering digunakan selain menelaah pertahan pihak lawan untuk dijadikan kelebihan buat diri saya dan dari sana saya merangka serang balas pada masa yang sama berhati-hati dengan setiap gerak geri lawan,” tegasnya lagi.

“Saya merancang untuk meneruskan perjalanan dalam bidang ini dan ingin melihat sejauh mana saya! boleh melangkah,” tegasnya sebelum menyarankan supaya tanggapan MMA sebagai sukan budak samseng perlu dikikis.

Katanya, “Sukan ini mengajar kita erti disiplin yang tinggi yang bukan hanya berdasarkan kekuatan fizikal malahan kawalan mentaliti yang tinggi untuk gah di gelanggang mahupun di luar dan jika kita mahu kita boleh berjaya dalam sukan yang lasak ini di samping percaya kepada kemampuan diri sendiri untuk berjaya.”

ARTIKEL YANG SAMA