Cipta ruang dalaman selesa dan luas

Cipta ruang dalaman selesa dan luas

BAGI yang berhasrat untuk membuka kafe atau restoran setentunya sibuk memikirkan mengenai idea dekorasi unik yang akan dikongsikan bakal menyuntik nafas baru pada ruang dalamannya.

Dari menu utama anda sudah boleh menentukan hala tuju tema kafe atau restoran anda. Apabila menikmati masakan tradisi Melayu sudah pastinya kita akan membayangkan suasana restoran yang menampilkan hasil seni warisan Melayu termasuk hiasan rotan dan meja kayu.

Ini kerana daya tarikan pada kafe atau restoran bukan hanya terletak kepada kelazatan sajian makanan semata-mata.

Cara ‘penyampaian’ iaitu dekorasi juga hakikatnya mampu untuk mencuri hati pelanggan. Apatah lagi pada zaman serba moden ini, masyarakat bukan sahaja mementingkan selera, malah persekitaran restoran untuk menjamu selera.

Suasana bersih, dekorasi menarik, perabot selesa menjadi antara daya tarikan kepada pelanggan kerana tidak semua yang bertandang semata-mata mahu memesan makanan penuh semeja.

Dekorasi ruang dalaman antara tarikan pengunjung di sesebuah kafe atau restoran.
Dekorasi ruang dalaman antara tarikan pengunjung di sesebuah kafe atau restoran.

Ramai juga menjadikan budaya santai di restoran sambil berjumpa rakan lama, bermesyuarat atau tempat berkumpul untuk mengulang kaji pelajaran.

Aspek pemilihan perabot adalah penting kerana anda perlu bijak memilih perabot yang bersesuaian dengan tema dekorasi berpandukan keluasan ruang.

Jangan hanya kerana memiliki ruang perniagaan kecil, anda meletakkan meja dan kerusi yang banyak semata-mata kerana mahu dipenuhi pelanggan.

Ini bukan penyelesaian yang bijak kerana dewasa ini ramai dalam kalangan kita kurang gemar bersesak-sesak dan berada di dalam restoran padat.

Suasana yang ditampilkan hendaklah selesa dan turut menyediakan perabot yang bersesuaian dengan kanak-kanak, warga tua atau mesra orang kelainan upaya.

Ini bermakna anda mempunyai cukup ruang untuk memberikan laluan kepada pelanggan yang mungkin berkerusi roda atau menyediakan laluan khas.