Ciri ketua berwibawa

Ciri ketua berwibawa

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Ogos – Seorang ketua jabatan atau ketua bahagian perlu bersedia mengambil dan membuat keputusan yang tidak popular ke atas kakitangan mereka serta bersikap tegas, kata Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah.

“Mereka seharusnya bukan hanya tahu memberikan arah ‘Silakan’ tapi memberikan arahan selaras, contoh dan teladan dan mampu menyelesaikan permasalahan, bukan setakat membuat keputusan yang popular sahaja,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan kepada 26 orang pesara kementerian berkenaan yang berlangsung di Stadium Tertutup Sultan Haji Hassanal Bolkiah hari ini.

Menurut Yang Berhormat Pehin, seorang ketua perlu menyedari bahawa kepimpinan mereka bukan terletak pada kedudukan tapi keupayaan untuk membangun dan membawa perubahan kepada orang yang dipimpin dan di bawah kawalan mereka.

Di samping itu, mereka juga perlu berupaya menyumbang kepada pembaharuan kerja, peningkatan produktiviti dan kemajuan organisasi.

Salah seorang mantan pegawai kanan menerima sijil penghargaan daripada Yang Berhormat Pehin.
Salah seorang mantan pegawai kanan menerima sijil penghargaan daripada Yang Berhormat Pehin.

“Untuk membuat perubahan dan mencapai kejayaan tinggi, setiap pegawai dan anggota kakitangan perlu bergerak sama dan bersepadu. Dalam melaksanakan bidang tugas, ia memerlukan untuk sentiasa turun padang, banyak bekerja dan berdamping dengan masyarakat akar umbi dan generasi belia yang perlu dibangunkan dan memerlukan perhatian, perlindungan dan bantuan,” ujar Yang Berhormat Pehin.

Dalam perkara ini, ia memerlukan satu pasukan yang kuat yang saling bantu-membantu dan mempraktikkan profesionalisme dan integriti yang tinggi.

Majlis hari ini antara lain bertujuan untuk memberikan pengiktirafan dan tanda penghargaan serta terima kasih atas jasa bakti dan dedikasi yang telah disumbangkan oleh pesara kepada kerajaan semasa berkhidmat di bawah kementerian berkenaan.

Turut hadir di majlis itu, Timbalan Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman.

ARTIKEL YANG SAMA