Ciri positif jadi keunggulan guru

Ciri positif jadi keunggulan guru

Oleh Salawati Haji Yahya & Sim Y.H.
Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Sifat yang perlu ada pada diri seorang guru itu adalah bercakap benar dan amanah untuk menjadi ikutan murid, kerana murid-murid bukan saja mendengar apa yang disampaikan tetapi mereka juga melihat apa yang dibuat oleh guru.

“Jika apa yang dilihat oleh murid negatif, akan rosaklah seorang guru itu tetapi jika positif ciri-ciri seorang guru itu, ini adalah keunggulan yang sebenar-benarnya.”

Perkara ini ditekankan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned semasa berkongsi pandangan mengenai apa yang perlu ada seorang guru ke arah membentuk generasi berwawasan.

Terdahulu, beliau berkata, pendidikan adalah untuk memberikan tauladan dan untuk menjadi seorang guru yang baik, mereka perlu menjadikan diri mereka sebagai contoh tauladan yang baik.

Beliau menambah, ini dapat dilihat dari segi Islam sendiri, yang mana Nabi Muhammad S.A.W merupakan guru segala guru.

Yang Berhormat Pehin berkata sedemikian semasa ditemui pada Majlis Sambutan Hari Guru ke-26 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini, di mana beliau merupakan salah seorang daripada dua penerima Anugerah Pendidikan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien sempena Sambutan Hari Guru tahun ini.

Seorang lagi penerima anugerah berkenaan ialah Dato Paduka Haji Abdul Saman bin Kahar.

Bercakap mengenai pendidikan, Yang Berhormat Pehin berpendapat, ia pada asasnya adalah sama dalam zaman apa sekali pun, yang mana tujuan pendidikan adalah untuk membantu insan yang sempurna dan konsep pendidikan tidak berubah kecuali cara dan corak pendidikan itu boleh dipelbagaikan.

Baginda Sultan berkenan mengurniakan Anugerah Pendidikan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien kepada Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Abdul Aziz.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan Anugerah Pendidikan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien kepada Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Abdul Aziz.
Baginda Sultan mengurniakan Anugerah Pendidikan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien kepada Dato Paduka Haji Abdul Saman.
Baginda Sultan mengurniakan Anugerah Pendidikan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien kepada Dato Paduka Haji Abdul Saman.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan kerabat diraja lain berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Guru ke-26.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan kerabat diraja lain berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Guru ke-26.

“Dulu kita tidak mempunyai alat-alat ICT yang canggih berbanding dengan sekarang yang mana pendidikan sekarang dilengkapi dengan alat-alat canggih di mana perkara ini yang membuatkan ia berbeza.

“Manakala tenaga pengajar pula, pada zaman dulu kelulusan akademik mereka terbatas berbanding sekarang, kelulusan akademik para pelajar semakin tidak ada batasan,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, Dato Paduka Haji Abdul Saman semasa ditemui pula berkata, profesion sebagai guru pada zaman dulu tidak sebanyak pada masa ini.

Menurut beliau, setelah menamatkan pengajian di luar negara, beliau tidak mengajar tetapi hanya menjadi pemerhati kerana peluang mengajar lebih diberikan kepada mereka yang belajar di dalam negara dan mereka yang telah diterima oleh kerajaan untuk mengajar.

Dalam temu bual itu, beliau turut mengongsikan pandangannya mengenai ciri-ciri yang perlu ada pada diri seorang guru itu, iaitu cara-cara untuk menangani dan membayangkan apa yang boleh diterima oleh kanak-kanak tersebut bagi mengelakkan timbulnya rasa ketidakselesaan.

Sehubungan itu, Dato Paduka Haji Abdul Saman menyarankan, guru-guru dapat menggunakan pelbagai cara yang sesuai untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik.

Kedua-dua tokoh ini dipilih menerima anugerah tertinggi sempena Sambutan Hari Guru ke-26 berkenaan atas sumbangan mereka kepada kemajuan pendidikan di negara ini.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Abdul Aziz memainkan peranan penting dalam usaha memajukan pendidikan dan perkembangan agama Islam di negara ini.

Berdasarkan pandangan beliau yang ke hadapan dan jangkaan yang tinggi untuk kemajuan negara yang dicintai, beliau merupakan salah seorang perintis yang mengetengahkan Majlis Ilmu sebagai salah satu acara sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sejak tahun 2004.

Majlis yang berprestij itu merupakan wadah yang mengetengahkan ilmu dan maklumat yang berguna kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

Majlis Ilmu ini juga telah ba-nyak menyumbangkan pelbagai ilmu pengetahuan kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

Beliau hingga saat ini tidak pernah jemu menabur jasa dan bakti untuk meningkatkan penghayatan Islam dan memartabatkan agama serta sumbangan beliau yang bernilai dalam bidang akademik dan bukan akademik juga telah mendapat pengiktirafan negara.

Manakala itu, Dato Paduka Haji Abdul Saman pula merupakan salah seorang yang berperanan penting dalam penubuhan Universiti Brunei Darussalam dan Institut Pengajian Islam yang seterusnya terlibat dalam perancangan, penyusunan dan penggubalan undang-undang bagi institusi berkenaan.

Selain itu, beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Ad-Hoc penubuhan Universiti Teknologi Brunei (UTB), Maktab Jururawat Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah dan Pusat Latihan Mekanik.

Dalam usaha untuk meningkatkan pencapaian mata pelajaran Bahasa Arab pula, beliau pernah mewujudkan satu sistem ‘monitoring’ khusus bagi tenaga pengajar mata pelajaran berkenaan di sekolah-sekolah Arab.

Penubuhan sistem ini bertujuan bagi memastikan setiap guru mampu mengajar mata pelajaran tersebut dengan lebih berkesan dan bersistematik dalam menghasilkan pelajar-pelajar yang berkebolehan dalam berbahasa Arab

Kedua-dua penerima Anugerah Pendidikan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien ini menerima sijil penghargaan, wang tunai $20,000, cenderamata dan kemudahan perubatan percuma termasuk segala perbelanjaan wad kelas pertama di hospital-hospital kerajaan dalam negara.

ARTIKEL YANG SAMA