Citizen berbelanja sakan musim baru

Citizen berbelanja sakan musim baru

LONDON, 6 Julai (Agensi) – Manchester City dijangka berbelanja besar pada musim panas ini, selepas Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mengesahkan sudah menarik balik larangan peraturan Financial Fair Play (FFP) ke atas kelab itu.

Bajet perpindahan City memuncak sehingga sebanyak 49 juta pound pada musim panas lalu dan akibatnya skuad Liga Juara-Juara mereka dikurangkan kepada 21 pemain selepas didapati melanggar peraturan FFP.

Tindakan berbelanja besar itu dikaitkan berpunca daripada kegagalan skuad The Citizens untuk menyerlah pada saingan Liga Perdana Inggeris dan Eropah musim lalu.

Namun, pengumuman Badan Kawalan Kewangan UEFA itu semalam, sekali gus memberikan lampu hijau kepada mereka untuk membeli pemain terkenal yang disasarkan sebelum ini.

Antaranya, Raheem Sterling, Kevin De Bruyne dan Paul Pogba, yang keseluruhannya dianggarkan bernilai 150 juta pound jika berjaya membawa mereka ke Etihad.

City sebelum ini sudah pun membuat bidaan kedua ke atas Sterling pada harga 40 juta pound tapi ditolak Liverpool, manakala Pogba pula ditawar pada harga 60 juta pound daripada Juventus seandainya berjaya menyekat Barcelona yang turut berminat ke atas pemain itu.

De Bruyne, yang sedang mengadakan perbincangan dengan Wolfsburg berhubung masa depannya di situ, bakal membabitkan kos sebanyak 40 juta pound.

Pengerusi City, Khaldoon Al Mubarak pada minggu lalu dilapor berjanji akan membuat pelaburan besar pada musim panas ini sekiranya UEFA menarik balik hukuman FFP ke atas kelab berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA