Citizens cuba hapus badi Kiev

Citizens cuba hapus badi Kiev

KIEV, 24 Feb (AFP) – Manuel Pellegrini menegaskan pemain Manchester City kini fokus sepenuhnya dalam usaha menamatkan tiga kekalahan berturut-turut pada aksi pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara apabila bertemu Dynamo Kiev, sehari sebelum perlawanan berlangsung.

Pellegrini membariskan lima pemain muda dalam kesebelasan utama pasukan ketika City tewas 1-5 di tangan Chelsea, Ahad lalu dengan fokusnya adalah perlawanan di Ukraine.

City tidak pernah melepasi pusingan pertama kalah mati Liga Juara-Juara tetapi mereka menamatkan saingan kumpulan sebagai juara buat kali pertama dalam lima penampilan musim ini sekali gus membuka peluang mereka mara ke suku akhir.

Keputusan merehatkan majoriti pemain utama ketika menentang Chelsea adalah disebabkan jadual yang padat dengan City turut akan beraksi dalam aksi final Piala Liga bertemu Liverpool, Ahad ini sebelum berkunjung ke Anfield tiga hari kemudian untuk saingan Liga Perdana Inggeris.

Pellegrini akan meninggalkan Stadium Etihad pada musim panas ini dengan jurulatih Bayern Munich, Pep Guardiola akan mengambil alih tempatnya tetapi dia sekali lagi menafikan dakwaan mengatakan situasi itu memberikan kesan kepada persembahan anak buahnya.

Pellegrini dan Pablo Zabaleta semasa sidang akhbar di Stadium NSC Olimpiyskiydi Kiev menjelang perlawanan menentang Dynamo Kiev, esok. – Reuters
Pellegrini dan Pablo Zabaleta semasa sidang akhbar di Stadium NSC Olimpiyskiydi Kiev menjelang perlawanan menentang Dynamo Kiev, esok. – Reuters

“Apa yang paling penting adalah tampil dengan prestasi terbaik, saya tidak memikirkan mengenai masa depan.

“Semua pemain dari mula hanya memikirkan mengenai musim ini. Inilah adalah cabaran yang kami perlu hadapi sehingga hujung musim dan cara terbaik adalah kekal fokus.

“Kini, kami akan beraksi dalam Liga Juara-Juara selepas itu final Piala Liga di Wembley Ahad ini dan kami akan kembali bersaing dalam liga Rabu ini (awal pagi Khamis),” katanya.

City kehilangan beberapa tonggak utama kerana kecederaan sepanjang minggu tetapi tonggak pertahanan tengah, Eliaquim Mangala disahkan cergas sepenuhnya bagi digandingkan bersama kapten, Vincent Kompany.

Kevin de Bruyne, Jesus Navas, Fabian Delph dan Wilfried Bony masih belum boleh diturunkan kerana cedera.

ARTIKEL YANG SAMA