City berjuang untuk Pellegrini

City berjuang untuk Pellegrini

MANCHESTER, 12 Feb – Penjaga gol Manchester City, Joe Hart mendedahkan, dia dan rakan-rakan sepasukannya akan berjuang habis-habisan demi pengendali, Manuel Pellegrini yang bakal meninggalkan skuad The Citizens semasa jendela perpindahan dibuka pada musim panas ini.

Ini kerana menurut penjaga gawang antarabangsa England itu, Pellegrini sebenarnya layak untuk menamatkan karier sebagai pengendali yang membawa gelaran juara Liga Perdana England kepada City pada musim ini.

“Beliau adalah seorang pengurus dan kawan yang sangat hebat. Selain daripada bola sepak, saya juga sering meminta pendapatnya berkaitan hal peribadi saya. Saya suka dengan wataknya dan sudah tentu berasa sedih setelah diberitahu beliau bakal meninggalkan kami semua tidak lama lagi.

“Ini adalah lumrah dalam bola sepak yang sentiasa mengalami episod baharu pada setiap musim. Namun begitu, saya enggan terlalu memikirkan perkara yang bakal berlaku pada musim depan. Saya harus tumpukan perhatian dan fokus untuk melakukan yang terbaik demi Pellegrini,” kata Hart.

Sebagai rekod, pengendali kelahiran Chile itu pernah mengemudi skuad The Citizens menjuarai Liga Perdana England dan Piala Liga pada musim 2013/2014.

Pada musim depan, pengendali sensasi dunia, Pep Guardiola bakal membuat kemunculan pertama pada kancah Liga Perdana England setelah bersetuju untuk memeterai perjanjian selama tiga tahun sebagai pengurus baharu City dengan bayaran sebanyak 15 juta pound setahun.

Ketika ini, peluang City untuk merampas kejuaraan liga masih terbuka luas apabila menduduki tangga keempat liga dengan 47 mata iaitu beza enam mata daripada pendahulu, Leicester City. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA