City bermula garang

City bermula garang

WEST BROMWICH, 11 Ogos – Kehadiran bintang baharu Raheem Sterling di Manchester City masih dibayangi pemain bintang lama apabila membenam West Bromwich Albion 3-0 pada perlawanan sulung Liga Perdana Inggeris musim ini, semalam.

Yaya Toure menyumbat dua gol pada minit ke-9 dan ke-24 manakala gol ketiga City menerusi Vincent Kompany pada minit ke-59.

Setelah bergelut mencari rentak terbaiknya dengan pelbagai alasan musim lalu, persembahan menyerlah bintang dari Ivory Coast itu ketika dia memberikan isyarat sudah cergas dan fokus dengan persembahan dominan untuk jentera bahagian tengah City.

Ketika pesaing Chelsea dan Arsenal tergelincir untuk mendapat tiga mata penuh, skuad Manuel Pellegrini sebaliknya bermula garang di gelanggang lawan di Hawthorns.

Vincent Kompany (tengah) menanduk masuk bola untuk gol ketiga Citizen semasa menentang West Bromwich di Stadium The Hawthorns, Birmingham, semalam. – Reuters
Vincent Kompany (tengah) menanduk masuk bola untuk gol ketiga Citizen semasa menentang West Bromwich di Stadium The Hawthorns, Birmingham, semalam. – Reuters

Sterling, yang mencatat rekod perpindahan termahal di EPL seatakat ini dari Liverpool iaitu AS$76 juta, sepatutnya mencatat nama sebagai penjaring City malam tadi namun gerakannya masih hambar dan dikeluarkan selepas beraksi selama 74 minit.

Pengurus West Brom, Tony Pulis bagaimanapun berharap kehadiran bintang Venezuela, Solomon Rondon yang baharu ditandatangani membabitkan rekod pembelian kelab sebanyak 12 juta pound mampu menajamkan lagi jentera serangan.

Pengesahan Solomon menyertai kelab itu dari Zenit St Petersburg hanya dilakukan beberapa jam sebelum perlawanan pertama musim ini yang berakhir dengan kekecewaan di gelanggang sendiri. – AFP