City dapatkan De Bruyne

City dapatkan De Bruyne

MANCHESTER, 2 Julai (Agensi) – Manchester City berdepan halangan amat besar untuk mendapatkan Paul Pogba dari Juventus, namun percaya sudah melangkah setapak bagi memancing khidmat Kevin De Bruyne.

Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dikatakan hampir mendapatkan bekas pemain Chelsea, Bruyne dari kelab Jerman, Wolfsburg apabila wakil daripada kedua-dua pihak bertemu, minggu depan.

Kebimbangan City memuncak apabila mengetahui Pogba kemungkinan memilih Barcelona apabila laporan mengesahkan dua pegawai kanan dari kelab gergasi Sepanyol itu, Ariedo Braida dan Albert Soler bertemu Pengarah Urusan Juve, Giuseppe Marotta dan Pengarah Sukan, Fabio Paratici di sebuah restoran di Milan.

Marotta kemudian mengesahkan bidaan bernilai 56.7 juta paun sudah pun dibuat untuk mendapatkan Pogba, namun menegaskan pemain tengah Perancis berusia 22 tahun itu tidak akan dijual.

Sekalipun Barcelona tidak akan menandatangani sebarang pemain sehingga hukuman terhadap pembelian pemain berakhir pada Januari, tahun depan selain pemilihan presiden baharu kelab pada 18 Julai ini, difahamkan usaha untuk mendapatkan Pogba sudah dirancang.

Difahamkan, perjanjian itu termasuk mengekalkan Pogba di Turin sehingga musim depan sebelum membawa perancangan muda itu ke Nou Camp dalam tempoh setahun.

Dalam pada itu, harapan City untuk mendapatkan khidmat De Bruyne kian menyala apabila penyerang berusia 24 tahun itu dikatakan sudah memohon Wolfsburg untuk mendengar tawaran terhadapnya apabila perbincangan mengenai kontrak baharu bermula, minggu depan.

Pengarah Sukan Wolfsburg, Klaus Allofs mendakwa pada awal minggu ini De Bruyne akan kekal dan menandatangani kontrak baharu.

Begitupun, ejennya Patrick de Koster berkata: “Adakah Kevin benar-benar akan kekal di Wolfsburg? Saya menunggu kertas cadangan mereka. Biarkan kelab itu membuktikan yang dia amat penting dan mereka sendiri bercita-cita tinggi,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA