City Hall tewaskan CP2 4-1

City Hall tewaskan CP2 4-1

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Haji Sofian bin Haji Amit

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Perlawanan Kejohanan Liga 3 Penjuru 11 Orang Sepasukan anjuran Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan Tahun 2015-2016 diteruskan lagi hari ini dengan perlawanan di antara CP2 menentang City Hall.

Perlawanan yang berlangsung di Padang Bolasepak Jabatan Bomba dan Penyelamat, Lapangan Terbang Lama Berakas itu merupakan perlawanan bagi menentukan pasukan manakah yang akan merasai kekalahan pertama yang sebelum ini belum pernah tewas.

Perlawanan tersebut berkesudahan dengan keputusan 4-1 memihak kepada City Hall, dan ini bermakna CP2 telah tewas buat kali pertama dan City Hall mencatat kemenangan di semua perlawanan dan merupakan yang ketiga berturut-turut di kejohanan liga berkenaan.

Pada separuh masa pertama, gol pertama telah dijaringkan oleh Awang Amran bin Yaakob daripada CP2, hasil sepakan percuma di luar petak D City Hall. Namun City Hall tidak berputus asa sehinggalah mendapat sepakan penalti diberikan oleh pengadil selepas salah seorang pemain CP2 terkena bola di tangannya.

Salah satu aksi ketika perlawanan tersebut berlangsung.
Salah satu aksi ketika perlawanan tersebut berlangsung.

Sepakan penalti tersebut berjaya disudahkan oleh Awang Zulkiply bin Salleh, keputusan 1-1 tersebut kekal sehinggalah separuh masa pertama tamat.

Pada separuh masa kedua, City Hall semakin nampak mengawal permainan perlawanan tersebut iaitu dalam 70 peratus penguasaan bola dan hasil daripada kawalan tersebut, City Hall dihadiahkan dengan pesta gol iaitu sebanyak tiga biji hasil jaringan Awang Huziani bin Salleh, Haji Kamarul Zaman bin Haji Mohammad dan Awangku Yazeed bin Pengiran Tajuddin.

Perlawanan seterusnya ialah di antara PTC FT menentang Flywheel FC pada 15 Januari ini jam 4:30 petang, di tempat yang sama.

ARTIKEL YANG SAMA