City Hall tewaskan PTC FT 2-1

City Hall tewaskan PTC FT 2-1

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Dis – Kejohanan Liga 3 Penjuru 11 Orang Sepasukan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan diteruskan lagi hari ini dengan City Hall kali ini menentang PTC FT di Padang Bolasepak Jabatan Bomba dan Penyelamat, Lapangan Terbang Lama, Berakas.

Ini merupakan perlawanan kali kedua City Hall dan juga PTC FT bagi kejohanan tersebut. Perlawanan tersebut telah diberikan masa 60 minit iaitu 30 minit bagi setiap separuh masa. Pada perlawanan tersebut, City Hall sekali lagi menang dengan menundukkan PTC FT dengan keputusan 2-1. Gol pertama telah dijaringkan oleh Awangku Yazid bin Pengiran Haji Tajuddin daripada Pasukan City Hall pada minit ke-9. Namun pendahuluan City Hall hanya sekejap saja selepas PTC FT mendapat gol penyamaan empat minit kemudian yang dijaringkan oleh Mohd Arif Sharifuddin bin Haji Mohd Salleh.

Tiga minit sebelum wisel separuh masa pertama ditiup, Haji Kamarul Zaman bin Haji Mohammad daripada City Hall telah mendahului sekali lagi perlawanan dengan hasil serangan solo dengan menggelecek bola melepasi pemain pertahanan PTC FT dan kemudian menendang bola masuk ke gawang PTC FT.

Sesi bergambar ramai pasukan City Hall dan PTC FT serta pengadil sebelum memulakan perlawanan.
Sesi bergambar ramai pasukan City Hall dan PTC FT serta pengadil sebelum memulakan perlawanan.
Kelihatan Haji Kamarul Zaman ketika menendang bola sebelum masuk ke gawang PTC FT.
Kelihatan Haji Kamarul Zaman ketika menendang bola sebelum masuk ke gawang PTC FT.

Pada separuh masa kedua, percubaan demi percubaan telah diberikan di antara kedua belah pasukan namun tiada sebarang gol dijaringkan hinggalah pengadil meniupkan wisel penamat separuh masa kedua.

Kini, City Hall mendahului kejohanan dengan enam mata daripada dua perlawanannya, diikuti PTC FT dengan tiga mata, Flywheel FC dan SP Satu Yunait-Ideu masing-masing menduduki tangga ketiga dan keempat dengan mengumpul satu mata, CP2 yang belum lagi memulakan perlawanan di tangga kelima manakala SPS United dan Komersial United yang tewas di perlawanan pertama mereka masing-masing menduduki tangga keenam dan ketujuh. Kejohanan tersebut akan diteruskan lagi pada hari Jumaat, 25 Disember ini, dengan SPS United menentang SP Satu Yunait-Ideu.

ARTIKEL YANG SAMA