City juarai Piala Liga

City juarai Piala Liga

LONDON, 29 Feb (AFP) – Manchester City muncul juara Piala Liga Inggeris apabila membenam Liverpool 3-1 dalam penentuan penalti, malam tadi selepas kedudukan masa sebenar berakhir dengan keputusan 1-1 di Stadium Wembley.

Tiada jaringan dapat disaksikan ketika Liverpool dan Manchester City menamatkan aksi separuh masa pertama.

Liverpool menguasai sebahagian besar permainan dalam 10 minit pertama, namun Manchester City memperoleh peluang menerusi sepakan percuma apabila Raheem Sterling dikasari Nathaniel Clyne.

Hantaran David Silva itu bagaimanapun gagal disudahkan barisan serangan City.

Sergio Aguero hampir mencipta jaringan pertama apabila berjaya mengelak perangkap ofsaid pada minit ke-22, namun cubaannya terkena tiang di sebelah kiri.

Vincent Kompany menjulang trofi kemenangan bersama pasukannya selepas berjaya menundukkan Liverpool dengan jaringan 3-1. – Reuters
Vincent Kompany menjulang trofi kemenangan bersama pasukannya selepas berjaya menundukkan Liverpool dengan jaringan 3-1. – Reuters

Roberto Firmino turut berpeluang meletakkan Liverpool di depan pada minit ke-26, namun sepakannya tinggi melewati palang gol City.

Liverpool sekali lagi mempersia-siakan peluang apabila umpanan cantik Philippe Coutinho dari luar kotak penalti gagal ditanduk Kolo Toure ketika penjaga gol City sudah tertewas pada minit ke-32.

Walau bagaimanapun, Fernandinho menjaringkan gol pertama City apabila merembat kencang dari kiri gawang gol hasil hantaran Sergio Aguero pada minit ke-48.

Ketika City sudah tampak selesa di depan, berbaki lapan minit sebelum tamat Coutinho menjaringkan gol penyamaan seterusnya membawa perlawanan ke masa tambahan.

Aguero hampir memastikan kemenangan City tetapi sepakannya ditepis Simon Mignolet pada penghujung 15 minit masa tambahan.

Divock Origi turut mampu menamatkan terus saingan tetapi kecekapan Willy Caballero di gawang City menafikan cubaan menerusi tandukan penyerang itu pada 10 minit terakhir permainan.

Cabalerro menjadi wira dengan menyelamatkan tiga penalti ketika penentuan sepakan penalti pada pentas final Piala Liga di Stadium Wembley.

Beliau yang tidak mampu menahan air matanya daripada mengalir, berkata, “Ia begitu menakjubkan untuk menjuarai piala ini. Ia adalah hebat untuk penyokong kami.

ARTIKEL YANG SAMA