City mara ke pusingan kalah mati

City mara ke pusingan kalah mati

MONCHENGLADBACH, 24 Nov – Manchester City kini sah mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara selepas mencatat keputusan seri 1-1 dengan Borussia Moenchengladbach, awal pagi tadi yang menyaksikan kedua-dua pasukan menamatkan perlawanan dengan 10 pemain.

Keputusan itu sudah cukup buat City untuk menjamin tempat di tangga kedua Kumpulan C biarpun berbaki satu perlawanan.

Gladbach pula mengesahkan kedudukan di tangga ketiga – mara ke pusingan 32 terbaik Liga Europa – selepas pasukan tangga tercorot, Celtic tewas 0-2 di tangan Barcelona yang menjuarai Kumpulan C.

Biarpun hanya menang sekali dalam enam perlawanan sebelum ini di laman sendiri, semangat juang tinggi ditunjukkan pemain Gladbach di Borussia Park jelas memberikan masalah buat City.

Gol Raffael pada pertengahan babak pertama dipadam David Silva pada masa kecederaan babak pertama.

Keputusan seri sudah cukup untuk melayakkan Manchester City ke pusingan seterusnya. – AFP
Keputusan seri sudah cukup untuk melayakkan Manchester City ke pusingan seterusnya. – AFP

Gladbach kemudiannya terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas kapten, Lars Stindl dilayangkan kad merah pada minit ke-50 sebelum diikuti pemain City, Fernandinho yang menerima kad kuning kedua susulan mengasari Raffael.

“Kami berjaya mengawal perlawanan di babak pertama dan kami hilang fokus selepas melepaskan gol. Kami bermain lebih baik di babak kedua tetapi ketiadaan Fernandinho mengubah rentak permainan kami secara menyeluruh.

“Keputusan ini adalah baik untuk kedua-dua pasukan,” kata Guardiola sejurus tamat perlawanan.

Sementara itu, jurulatih Gladbach, Andre Schubert gembira dengan keputusan dilakar anak buahnya itu dengan mereka bakal beraksi dalam saingan Liga Europa. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA