City masih ada peluang – Kompany

City masih ada peluang – Kompany

MANCHESTER, 14 Mac (Agensi) – Kapten Manchester City, Vincent Kompany menegaskan pasukannya itu masih lagi berpeluang untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini meskipun selepas terikat 0-0 menentang Norwich City yang menyaksikan harapan mereka memenangi kejuaraan itu nampak makin sukar.

Sebelum aksi terbabit, pengendalinya, Manuel Pellegrini menyatakan bahawa anak buahnya perlu memenangi sembilan daripada 10 baki perlawanan jika mereka mahu memintas pendahulu liga, Leicester City, sekali gus merakam kejuaraan liga ketiga dalam tempoh lima musim. Meskipun sekadar terikat menentang kelab yang bergelut di zon penyingkiran itu dan ketinggalan sembilan mata dengan baki sembilan perlawanan, Kompany percaya City masih lagi menjadi pencabar untuk kejuaraan musim ini.

“Jadi, kami perlu memenangi semua baki sembilan perlawanan. Pengurus pernah menyatakan sebelum ini yang kami masih berada dalam landasan yang tepat untuk meraih kejuaraan.

Bagaimanapun, The Citizens tidak memenangi dua perlawanan berturut-turut sejak Oktober dan sekadar menang sekali dalam liga aksi terakhir apabila membenam pasukan tercorot liga, Aston Villa dengan keputusan 4-0. Pelbagai faktor menjadi punca City sedikit tenggelam terutamanya kerapuhan benteng pertahanan tanpa kelibat Kompany, masalah prestasi Yaya Toure dan juga masalah kecederaan yang melanda jentera serangannya selain pengumuman mengenai kehadiran Pep Guardiola yang mana ianya disifatkan oleh Sergio Aguero sebagai ‘agak gila’.

Raheem, Richard, Kompany dan Fernandinho ketika mengadakan sesi latihan di Manchester City Training. Kompany menegaskan pasukannya itu masih lagi berpeluang untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim ini. - Reuters
Raheem, Richard, Kompany dan Fernandinho ketika mengadakan sesi latihan di Manchester City Training. Kompany menegaskan pasukannya itu masih lagi berpeluang untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim ini. – Reuters

Dalam perkembangan lain, bekas pengendali Manchester United, Sir Alex Ferguson percaya juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini akan dinobatkan lebih awal dengan beberapa perlawanan masih lagi dalam tangan pasukan terbabit.

Ferguson yang memenangi 13 kejuaraan liga sepanjang 27 tahun kendaliannya di Old Trafford, optimis Leicester City akan merangkul kejuaraan liga dengan baki tiga perlawanan dalam tangan.

Anak buah Caudio Ranieri itu kini berkelebihan dua mata di atas Tottenham Hotspurs dan namun mampu melebarkan jurangnya kepada lima mata jika mereka berjaya menewaskan Newcastle United awal pagi nanti. Namun Ferguson yakin The Foxes mampu mengetepikan semua pencabarnya, sekali gus merangkul kejuaraan liga sulungnya dalam sejarah kelab itu pada musim ini.

“Pastinya mereka mampu bergelar juara lebih awal dan mereka dapat melakukannya dengan berbaki tiga perlawanan dalam tangan,” katanya ketika ditemui di majlis previu makan tengah hari Festival Cheltenham.