City menang besar, Swansea terkeluar

City menang besar, Swansea terkeluar

LONDON, 23 Sept (AFP) – Pembelian termahal Manchester City, Kevin De Bruyne meledak lagi bagi membantu kemenangan 4-1 ke atas Sunderland, sekali gus melangkah ke pusingan keempat Piala Liga Inggeris, semalam.

Perlawanan pusingan ketiga itu turut menyaksikan Swansea City rebah kepada kelab divisyen dua, Hull City.

City yang melakukan permulaan cemerlang dalam Liga Perdana musim ini namun kalah pertama kali kepada West Ham 2-1 di gelanggang sendiri hujung minggu lalu, nyata bangkit untuk memberi keyakinan baru kepada skuad kendalian Manuel Pellegrini itu.

Bertemu Sunderland di Stadium of Light, pelawat selesa mendahului 4-0 dalam masa 36 minit dengan gol pertama seawal minit ke-9 menerusi penalti Sergio Aguero.

Kevin De Bruyne (kiri) bersaing dengan pemain pertahanan Sunderland, John O’Shea (kanan) pada perlawanan pusingan ketiga Piala Liga Inggeris di Stadium of Light di Sunderland, timur laut England, pada 22 September 2015. – AFP
Kevin De Bruyne (kiri) bersaing dengan pemain pertahanan Sunderland, John O’Shea (kanan) pada perlawanan pusingan ketiga Piala Liga Inggeris di Stadium of Light di Sunderland, timur laut England, pada 22 September 2015. – AFP

De Bruyne meledak gol kedua pada minit ke-25 diikuti gol sendiri oleh penjaga gol Sunderland, Vito Mannone (m-33) manakala Raheem Sterling untuk gol keempat tiga minit kemudian.

Sunderland yang kini dalam kedudukan tercorot liga yang tanpa kemenangan selepas enam perlawanan, memperoleh gol sagu hati pada minit ke-83 menerusi tandukan Ola Toivonen.

Sementara Swansea tewas menerusi jaringan tunggal penyerang Hull, David Meyler pada minit ke-41.

Aston Villa pula menang tipis ke atas Birmingham City 1-0 menerusi tandukan Rudy pada minit ke-62, manakala rembatan Peter Crouch pada separuh masa pertama sudah cukup untuk Stoke City menyingkirkan Fulham 1-0.