City siasat kecederaan Kompany

City siasat kecederaan Kompany

LONDON, 29 Dis – Manuel Pellegrini berkata, kakitangan perubatan Manchester City akan melakukan kajian mendalam bagi mencari punca mengapa Vincent Kompany kerap berdepan masalah betis tetapi pada masa sama, beliau percaya anak buahnya tetap mampu menang tanpa pemain itu.

Kapten City itu dimasukkan sebagai pemain gantian ketika kemenangan pasukannya ke atas Sunderland selepas berehat lapan perlawanan tetapi hanya mampu bertahan sembilan minit.

Pellegrini mengesahkan pemain itu mengalami kecederaan sama dan berkata pasukannya perlu terus melawan walaupun tanpa kehadiran pemain antarabangsa Belgium berkenaan.

“Saya baru membuat pertukaran dan dimaklumkan Vincent perlu dikeluarkan,” katanya. “Agak malang baginya kerana dia berusaha keras sepanjang minggu dan memang sudah bersedia untuk diturunkan.

“Saya tidak benarkan dia bermain 90 minit kerana dia baru beraksi buat kali pertama dalam tempoh 40 hari. Tapi saya tidak menjangka bahawa dia akan kembali cedera selepas lima minit.

“Kami sedang cuba mencari punca mengapa betisnya kerap cedera. Ia ada kaitan dengan masalah perubatan yang saya tidak boleh jawab. Kami akan menjalankan semua ujian untuk mengenal pasti masalahnya.”

City gagal mengekalkan rekod bersih sepanjang ketiadaan Kompany musim ini dan Pellegrini percaya pasukannya lebih mantap setiap kali pemain terbabit mengetuai benteng pertahanan.

Benteng pertahanan City kerap dipersoalkan musim ini dengan Eliaquim Mangala sering menjadi mangsa kritikan penyokong.

Begitupun, Pellegrini merasakan semua pemainnya perlu beraksi lebih baik sepanjang ketiadaan Kompany.

“Pasukan kami lebih kuat dengan adanya Vincent tapi jika terpaksa bermain tanpanya, kami tetap perlu bermain baik. Ia bergantung kepada persembahan Mangala, (Nicolas) Otamendi dan (Martin) Demichelis. – Agensi