City terus membara

City terus membara

BOURNEMOUTH, 3 April (AFP) – Bintang tengah Manchester City, Kevin De Bruyne meledak gol pada penampilan semula-nya selepas kecederaan ketika membelasah Bournemouth 4-0 pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi.

Kemenangan besar itu jelas melegakan pengurus City, Manuel Pellegrini menjelang pertembungan suku akhir Liga Juara-Juara bertemu gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG), minggu depan.

Manuel Pellegrini menutup mulut pengkritik selepas Manchester City menewaskan Bournemouth dalam aksi pemanas badan sebelum bertemu Paris Saint Germain (PSG) dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini.

Beraksi di bawah prestasi sebenar dan kurang menjaringkan gol sebelum aksi bertemu Bournemouth, rehat perlawanan antarabangsa menyaksikan City kembali bangkit menampilkan persembahan dominan.

Ketiga-tiga gol City dijaringkan sepanjang tempoh 19 minit awal perlawanan dimulakan dengan jaringan Fernando, De Bruyne dan penyerang Argentina, Sergio Aguero.

Kevin (17) meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya selepas meledakkan gol kedua buat Manchester City yang membelasah Bournemouth 4-0 pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi. - Reuters
Kevin (17) meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya selepas meledakkan gol kedua buat Manchester City yang membelasah Bournemouth 4-0 pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi. – Reuters

Aleksandar Kolarov melengkapkan jumlah jaringan apabila meledak gol pada masa kecederaan pada babak kedua.

Keputusan positif itu ditambah dengan keputusan seri yang dilakar West Ham United bertemu Crystal Palace mengukuhkan kedudukan City di tempat keempat liga.

City yang menganggap peluang untuk menjuarai liga kabur menetapkan sasaran untuk meraih tiket ke saingan Liga Juara-Juara musim depan sekali pun tidak lagi dilatih Pellegrini.

Gol menerusi Fernando, Kevin De Bruyne, Sergio Aguero dan Aleksandar Kolarov di Dean Court mengukuhkan kedudukan City di tangga keempat liga dan menyuntik semangat mereka menjelang pertemuan dengan PSG.

City yang tewas lima daripada tujuh perlawanan liga sebelum rehat aksi antarabangsa termasuk tiga di laman sendiri apabila tunduk kepada pencabar utama, Leicester City dan Tottenham Hostpurs termasuk aksi jiran tetangga dengan Manchester United menyaksikan Pellegrini dikritik hebat sebagai pengurus.

Banyak pihak mempersoalkan kemampuan Pellegrini sama ada dia mampu memberikan motivasi kepada pemainnya ketika dia bakal digantikan dengan Pep Guardiola musim depan.

Bagaimanapun, dominasi yang ditunjukkan City dalam perlawanan dengan Bournemouth membuktikan semuanya berada di tangan mereka dalam menentukan sama ada mereka mampu layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Biarpun tanpa kelibat Joe Hart, Yaya Toure, Vincent Kompany dan Raheem Sterling, City terlalu hebat buat Bournemouth dan Pellegrini mengambil peluang untuk menutup mulut pengkritiknya.

“Cara terbaik untuk melakukan persiapan bagi menghadapi perlawanan seterusnya adalah fokus dalam perlawanan ini.

Kembali kepada corak permainan kami sendiri dan cuba kembali kepada prestasi asal tanpa pemain utama.

“Kami sentiasa dikritik musim ini tetapi biarpun kami mengalami masalah kecederaan dalam kalangan pemain utama, kredit wajar diberikan kepada skuad ini yang membuktikan kami adalah pasukan yang akan terus berjuang sehingga hujung saingan.

“Kami adalah pasukan Inggeris terakhir dalam Liga Juara-Juara, kami memenangi Piala Liga, kami dipaksa tersingkir daripada Piala FA kerana beberapa pemain utama cedera dan kami mengutamakan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara,” kata Pellegrini.

Walaupun City ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu, Leicester, Pellegrini masih belum menyerah kalah mengenai peluang anak buahnya menjuarai liga.

“Jika kamu mempunyai mentaliti untuk sentiasa menang, kamu perlu fikir kamu boleh melakukannya jika matematik membenarkan itu berlaku,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA