City tidak gentar hadapi Madrid

City tidak gentar hadapi Madrid

MADRID, 4 Mei (AFP) – Pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini berjanji pasukannya tidak akan gentar untuk menyerang Real Madrid dalam usaha mereka mara ke final pertama Liga Juara-Juara awal pagi esok.

City akan berkunjung ke ibu kota Sepanyol dengan saingan terikat 0-0 sambil berharap dapat menyekat Madrid yang sudah menjaringkan 18 gol tanpa bolos dalam lima saingan peringkat Eropah di Santiago Bernabeu musim ini.

Bagaimanapun, kembalinya Pemain Terbaik Dunia tiga kali Cristiano Ronaldo daripada kecederaan paha, Pellegrini meminta pasukannya mencari gol di tempat lawan yang boleh memastikan kemaraan pasukan itu pada final di Milan pada 28 Mei.

“Kami akan cuba esok untuk bermain dengan cara kami bermain setiap minggu,” kata Pellegrini yang akan meninggalkan City untuk digantikan bos Bayern Munich, Pep Guardiola pada penghujung musim.

“Cara terbaik untuk mara ke final ialah bermain dengan cara yang kami tahu. Kami sudah cuba di Manchester dan bermula minit pertama esok kami akan cuba mengawal posisi dan menyerang.

Sergio Aguero, Nicolas Otamendi, Martin Demichelis ketika menjalani latihan menjelang perlawanan menentang Real Madrid. - AP
Sergio Aguero, Nicolas Otamendi, Martin Demichelis ketika menjalani latihan menjelang perlawanan menentang Real Madrid. – AP

“Kami tahu kami perlu menampilkan persembahan sangat bagus untuk mara ke final. Ia akan membawa kami buat kali pertama ke final. Kami sudah beberapa kali menang gelaran domestik dalam tempoh empat tahun sebelum ini, tetapi ini untuk sejarah kelab dan untuk melakukannya kami mesti bermain dengan sangat bagus.”

City akan beraksi tanpa pemain kreatif David Silva kerana kecederaan hamstring dialami pada separuh akhir pertama minggu lalu.

Bagaimanapun, Yaya Toure kembali daripada kecederaan paha dan Pellegrini berharap pengalaman pemain itu berdepan Madrid ketika bersama Barcelona yang memenangi Liga Juara-Juara akan menjadi kunci utama.

ARTIKEL YANG SAMA