City yakin Etihad pilihan La Pulga

City yakin Etihad pilihan La Pulga

MANCHESTER, 23 Mac (Agensi) – Manchester City tetap yakin Etihad akan menjadi satu-satunya destinasi Lionel Messi atau La Pulga seandainya bintang sensasi Argentina itu mengucapkan selamat tinggal kepada Barcelona.

City masih belum berputus asa untuk mendapatkan khidmat pemain terbaik dunia lima kali itu sekali pun sedar peluang mereka untuk memujuknya keluar dari Nou Camp tipis.

Begitupun, dengan kehadiran Pep Guardiola, rakan dan bekas jurulatih Messi di Barca yang dijadual mengambil alih tugas mengendali City pada musim panas ini, mereka mula percaya kelab itu adalah calon utama untuk pemain berusia 28 tahun itu seandainya dia mahukan cabaran baharu.

Selain Guardiola, Ketua Pegawai Eksekutif City, Ferran Soriano dan Pengarah Sukan, Txiki Begiristain juga tidak asing dengan Messi dan keluarganya sejak pemain prolifik itu memulakan kariernya di Sepanyol.

Bukan saja Messi, kehadiran Guardiola pastinya memberi kelebihan buat City untuk memikat mana-mana pemain Barcelona sekali pun tiada sebarang khabar angin baharu dicetuskan melainkan perpindahan pemain tengah, Sergio Busquets.

Messi mula menjadi buruan kelab-kelab Liga Perdana Inggeris. – Reuters
Messi mula menjadi buruan kelab-kelab Liga Perdana Inggeris. – Reuters

Kelab itu dijangka mengumumkan perlawanan pertama Guardiola bersama City adalah pertembungan menentang tetangga Manchester di China, musim panas ini pada Piala Kejuaraan Antarabangsa.

Manchester United, semalam mengumumkan mereka akan mengharungi dua perlawanan sepanjang tempoh empat hari di China.

City pada minggu lalu tumbang perlawanan menentang United di Etihad yang menyukarkan laluan kelab kaya raya itu untuk menamatkan saingan di kedudukan empat terbaik liga.

Namun kehadiran semua penyerang Belgium, Kevin De Bruyne yang kembali pulih pasti memberi sedikit kelegaan terutama menjelang pertembungan suku akhir Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain selepas rehat aksi antarabangsa.

“Kecederaan nampaknya semakin pulih. Nampaknya saya beberapa minggu lebih awal daripada yang dijadualkan,” kata Bruyne.

ARTIKEL YANG SAMA