Clarke, Milkha bintang baru

Clarke, Milkha bintang baru

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Kapten pasukan Piala EurAsia, Darren Clarke dan Jeev Milkha Singh menyertai senarai terbaharu pemain yang bakal bersaing merebut hadiah wang tunai RM13.11 juta pada Kejohanan Maybank Malaysia bermula 18 hingga 21 Februari ini.

Kapten pasukan Eropah dan Asia itu menyertai kelompok pemain yang sudah mengesahkan penyertaan lebih awal termasuklah pemain nombor 19 dunia, Danny Willet; dua bintang utama Asia, Thongchai Jaidee dan Kiradech Aphibarnrat dari Thailand serta Louis Oosthuizen dan juga pemain Jerman, Martin Kaymer.

Selain Clarke dan Milkha Singh, turut mencuri tumpuan ialah pemain nombor 44 dan 36 dunia, Matthew Fizpatrick dan Victor Dubuisson yang juga menyertai kelompok bintang ternama pada saingan diiktiraf Jelajah Eropah serta Asia itu.

Pengerusi Maybank, Datuk Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor, berkata kehadiran empat pemain ternama ini akan meningkatkan lagi prestij kejohanan terbabit.

“Kita akan dapat saksikan saingan sengit antara pemain antarabangsa dan tempatan yang masing-masing mahu mengumpul mata ranking dunia untuk slot ke Sukan Olimpik Rio.

“Setakat ini, tujuh daripada 50 pemain terbaik dunia sudah mengesahkan penyertaan sekali gus melepasi sasaran kita yang mahu menampilkan sekurang-kurangnya lima pemain dalam ranking 50 terbaik dunia pada temasya kali ini,” katanya pada majlis pelancaran Trofi Istimewa Kejohanan Maybank Malaysia di sini. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA