Clement harap sentuhan Ancelotti berkesan

Clement harap sentuhan Ancelotti berkesan

DERBY, 28 Jan – Paul Clement mendedahkan dia amat berharap pada sentuhan mentornya, Carlo Ancelotti tatkala mempersiapkan Derby County untuk berdepan Manchester United dalam pertembungan pusingan keempat Piala FA, awal pagi Sabtu ini.

Tujuh bulan selepas mengambil tugasan pertama sebagai pengurus bersama Derby, Clement bakal menjadi tumpuan apabila melayani kunjungan skuad Louis van Gaal yang berada di bawah tahap prestasi sebenar.

Clement kini juga mengalami tekanan yang sama, berikutan keputusan lima perlawanan tanpa kemenangan dalam saingan Kejuaraan, dan mengakui kedua-dua pasukan United dan Derby berada ‘dalam situasi sukar’.

Tetapi pengendali berusia 43 tahun itu sudah bersedia untuk mendapatkan nasihat Ancelotti dalam jalan terakhirnya cuba merakam kejutan terhadap United di Stadium iPro, awal pagi Sabtu ini.

Mereka pernah bergandingan di Chelsea sebelum meneruskan kerjasama di Paris Saint-Germain dan Real Madrid dengan memenangi gelaran liga dan Liga Juara-Juara, sebelum meninggalkan Bernabeu, Mei tahun lalu.

 

Clement berharap sentuhan mentornya akan dapat membuahkan hasil buat kelab kendaliannya apabila berdepan Man United Sabtu ini. – Reuters
Clement berharap sentuhan mentornya akan dapat membuahkan hasil buat kelab kendaliannya apabila berdepan Man United Sabtu ini. – Reuters

Ancelotti yang akan kembali ke dalam bidang pengurusan dengan Bayern Munich Julai nanti, tidak dapat memenuhi jemputan untuk menghadiri aksi terbabit tetapi Clement merancang untuk menghubunginya sebelum pertemuan itu.

“Saya masih berhubung dengan Carlo dan jika saya memerlukannya saya tahu dia akan ada untuk saya. Saya akan bercakap dengannya sebelum perlawanan Sabtu ini,” katanya.

“Anda perlu mengambil nasihat mereka yang rapat dengan anda. Dia ada bercakap dia akan hadir ke sesi latihan kami sebelum ini, dan berkata untuk datang menyaksikan aksi kami menentang United.

“Dan sekarang ini dia berkata tidak boleh. Dia jelas sekali mendapat tawaran lebih baik pada masa ini.

“Dia sangat tenang. Dia akan memberitahu saya untuk bekerja dengan pemain, cuba mengenali pemain dan mengabaikan perkara lain. Dia selalu mengatakan ‘kawal apa yang berada dalam kawalan anda.”

Clement turut hadir melihat kekalahan United kepada Southampton minggu lalu bagi membuat perincian mengenai kekuatan dan kelemahan gergasi EPL itu. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA