Clinton ‘mampu berkhidmat’ sebagai presiden

Clinton ‘mampu berkhidmat’ sebagai presiden

WASHINGTON, 15 Sept – Doktor kepada calon presiden Demokrat, Hillary Clinton, mengisytiharkan beliau ‘mampu untuk berkhidmat’ sebagai presiden, dalam buletin kesihatan yang disiarkan sehari sebelum beliau kembali sibuk selepas berehat akibat radang paru-paru menjelang kemuncak saingan menuju ke Rumah Putih.

Pendedahan itu dibuat ketika pencabarnya dari Republikan, Donald Trump, menyiarkan data kesihatannya dalam rakaman program perbualan kesihatan yang dijangka disiarkan hari ini.

Kedua-dua calon, antara paling tua bertanding untuk jawatan presidne, berada dalam tekanan hebat untuk berkongsi lebih banyak maklumat kesihatan selepas Clinton jatuh sakit ketika upacara peringatan tragedi 11 September di New York Ahad lalu dan terpaksa meninggalkan majlis.

Isu kesihatan menguasai kempen selama beberapa hari, mengenepikan persoalan lain seperti dana Yayasan Trump yang kini menjadi subjek siasatan di New York, tidak sampai dua minggu sebelum perbahasan pertama kedua-dua calon diadakan.

Dalam kemas kini terperinci dua muka surat mengenai kesihatan Clinton, doktor peribadi beliau, Lisa Bardack, menyatakan calon berusia 68 tahun itu pulih daripada radang paru-paru sederhana dan tidak berjangkit.

Gambar fail 9 September 2016 menunjukkan Hillary Clinton semasa menghadiri taklimat Keselamatan Negara di Historical Society Library di New York. - AP
Gambar fail 9 September 2016 menunjukkan Hillary Clinton semasa menghadiri taklimat Keselamatan Negara di Historical Society Library di New York. – AP

Beliau semakin pulih dengan antibiotik dan rehat selepas tidak banyak aktiviti pada hujung minggu, apabila mengalami keletihan dan demam, walaupun petunjuk penting kekal normal, kata Bardack.

Calon Rumah Putih Demokrat “terus kekal mampu untuk berkhidmat sebagai Presiden Amerika Syarikat”, katanya, menjelaskan Clinton dalam keadaan mental amat baik.

Apabila Clinton dilihat berjalan dalam keadaan tidak seimbang memasuki kenderaan Perkhidmatan Rahsia hujung minggu lalu, ia mengambil masa beberapa jam sebelum doktor peribadinya mendedahkan beliau didiagnos dengan radang paru-paru dua hari sebelum itu, meningkatkan persoalan mengenai ketelusan kempennya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA