Clinton selar kenyataan Jeb Bush

Clinton selar kenyataan Jeb Bush

WASHINGTON, 16 Ogos (AFP) – Bakal calon presiden Demokrat Hillary Clinton semalam menyelar balas dakwaan pesaing Republikannya Jeb Bush bahawa pengunduran “pramasa” tentera Amerika Syarikat dari Iraq menyemarakkan lagi kebangkitan kumpulan Negara Islam (IS).

Clinton berkhidmat sebagai Setiausaha Negara di bawah Presiden Barack Obama ketika berlaku peningkatan kumpulan IS.

Pada 2002, ketika berkhidmat sebagai Senator AS dari New York, Clinton mengundi bersetuju bagi memberi kebenaran pencerobohan ke atas Iraq seperti yang diarahkan oleh abang Jeb dan bekas presiden, George W. Bush.

Dengan peperangan masih berterusan dan menelan kos besar serta tidak popular, beliau kemudian mengakui bahawa keputusan yang diambilnya adalah silap.

“Saya berasa ingin tahu juga kenapa Jeb Bush menggandakan usahanya mempertahankan tindakan abangnya di Iraq,” kata Clinton ketika mengadakan jerayawara kempen di Iowa.

“Jika beliau mahu lakukan itu, beliau perlu membentangkan gambaran keseluruhannya,” tegasnya.

“Dan gambaran keseluruhannya seperti yang anda ketahui, termasuk perjanjian yang George W. Bush buat dengan kerajaan (Nuri al-) Maliki di Iraq yang menetapkan akhir 2011 sebagai tarikh pengunduran tentera Amerika.”

Pada Selasa lepas, Jeb Bush mempersalahkan Clinton kerana membenarkan kemunculan IS yang berlaku kejam akibat terlalu cepat mengundurkan tentera dari Iraq.

“Pengunduran pramasa adalah kesilapan yang besar dan memberi laluan kepada kebangkitan IS,” beliau memberitahu hadirin di California.

ARTIKEL YANG SAMA