Club America juara CONCACAF

Club America juara CONCACAF

MONTREAL, Kanada, 30 April – Club Amerika berjaya merangkul gelaran Liga Juara-Juara CONCACAF semalam selepas hatrik cemerlang babak kedua Dario Benedetto menjulang pasukan Mexico itu untuk menang dengan agregat 5-3 ke atas Montreal Impact.

Kemenangan 4-2 Club Amerika dalam pusingan kedua final di Stadium Olimpik Montreal juga menghadiahkan mereka tempat dalam Piala Kelab Dunia di Jepun, Disember ini.

Selepas seri 1-1 dalam perlawanan pertama di Mexico, pasukan dari Kanada dilihat mempunyai peluang besar untuk menjulang piala apabila pemain tengah Andres Romero menjaringkan gol pada minit kelapan selepas mengambil hantaran dari Ignacio Piatti.

Benedetto hampir menyamakan kedudukan dengan Club Amerika lima minit kemudian tetapi bola terkena palang dari jarak hampir satu meter.

Pemain Argentina itu membuat perubahan dengan cara yang menakjubkan pada babak kedua, menyamakan kedudukan pada minit ke-50 apabila menyempurnakan voli melepasi penjaga gol Kristian Nicht.

Pemain Club America meraikan kejayaan mengungguli Liga Juara-Juara CONCACAF selepas membenam Montreal Impact di Montreal, semalam. – AFP
Pemain Club America meraikan kejayaan mengungguli Liga Juara-Juara CONCACAF selepas membenam Montreal Impact di Montreal, semalam. – AFP

Dari saat itu, rentak perlawanan menampakkan permainan sehala ke gawang Montreal dan pasukan Mexico menyudahkan perlawanan dengan dua gol pantas pada minit ke-64 dan 66, hasil usaha Oribe Peralta dan Benedetto.

Benedetto, yang menjaringkan empat gol pada babak pertama menentang Herediano dari Costa Rica pada perlawanan kedua separuh akhir awal bulan ini, melengkapkan hatrik dengan kaki kirinya dari jarak 16 meter pada minit ke-81.

Pemain gantian Montreal, Jack McInerney merapatkan kembali kedudukan seminit sebelum tamat tetapi ia hanya gol sagu hati untuk tuan rumah. – Reuters