CoC kaedah terbaik selesaikan pertikaian Laut China Selatan

CoC kaedah terbaik selesaikan pertikaian Laut China Selatan

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Mematuhi dan komited untuk memuktamadkan Kod Tata Laku (CoC) pihak yang membuat tuntutan dalam pertikaian wilayah Laut China Selatan tetap merupakan kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah yang telah lama wujud di wilayah itu, kata seorang pakar.

Pengarah eksekutif Pusat Pengajian Antarabangsa Lanjutan (SAIS), John Hopkins University, Washington DC, Dr. Carla Park Freeman berkata, malah, penggubalan dokumen berkenaan perlu dipercepatkan bagi mencegah ketegangan sedia ada daripada bertukar menjadi satu sengketa dahsyat.

Katanya, negara yang membuat tuntutan – Brunei, Malaysia, Filipina, Vietnam, China dan Taiwan perlu menetapkan tempoh masa bagi menyiapkan CoC itu.

Penggubalan CoC susulan kepada Deklarasi Tata Laku (DoC) Pihak-pihak di Laut China Selatan itu, yang ditandatangani pada 2002 oleh 10 negara anggota ASEAN terdiri daripada Brunei, Kemboja, Laos, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Thailand, Filipina, Singapura dan Vietnam di samping China, belum mencapai banyak kemajuan setakat ini.

DoC itu, antara lain, bertujuan memupuk persekitaran aman, mesra dan harmoni di Laut China Selatan antara ASEAN dan China ke arah meningkatkan keamanan, kestabilan, pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran di rantau ini.

Ia juga menggariskan hasrat 11 negara yang menandatanganinya untuk meningkatkan suasana baik ke arah menyelesaikan perbezaan pendapat dan menyelesaikan pertikaian secara aman dan berkekalan dalam kalangan negara terbabit.

Dr. Freeman, pakar dalam bidang Pengajian China, berkata keputusan Filipina untuk meneruskan tuntutannya terhadap China di Tribunal Timbangtara, menyulitkan lagi keadaan.

Dalam temu bual dengan Bernama ketika beliau melakukan lawatan kerja ke sini, Dr. Freeman berkata malah, China mungkin menarik diri daripada rundingan CoC sebagai bantahannya terhadap proses timbangtara itu.

“Kebimbangan saya ialah sekiranya penimbangtaraan diadakan, China akan segera menghentikan proses rundingan dan menyekat kemajuan CoC. Negara itu tidak akan lagi menyertainya,” kata beliau.

Menurut Dr Freeman, sekiranya keputusan penimbangtaraan itu menyebelahi Filipina, ia akan mewujudkan suatu duluan untuk menjadi ikutan negara lain yang membuat tuntutan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA