Coca-cola di Gaza operasi Oktober ini

Coca-cola di Gaza operasi Oktober ini

NILAI, 17 Sept (Bernama) – Kilang Coca-Cola milik National Beverage Co’s (NBC) di Gaza, Palestin akan memulakan operasinya bulan depan, kata Pengurus Besar NBC Imad Hindi.

Beliau berkata kilang bernilai AS$20 juta (AS$1=RM4.33) merupakan kilang Coca-Cola keempat di Palestin selepas Jericho, Ramallah dan Tulkarem.

“Disebabkan faktor logistik dan keadaan di Gaza, kami akan laksanakan secara berperingkat.

“Fasa pertama melibatkan pengeluaran botol kaca yang boleh dikembalikan bagi pasaran domestik dengan jenis minuman Coca-Cola, Coca-Cola Light, Sprite dan Fanta (oren, epal hijau serta strawberi) dalam botol bersaiz 250 mililiter,” katanya kepada pemberita semasa melawat Coca-Cola Malaysia di Bandar Enstek, di sini, hari ini.

Fasa kedua yang melibatkan pengeluaran air bersih untuk hospital di Gaza, akan bermula pada April tahun depan, kata Imad, menambah bahawa ia adalah untuk tujuan amal, bukan perniagaan.

Fasa ketiga pula yang merangkumi pengetinan dan botol ‘polyethylene terephthalate’ atau PET, akan bermula ujung tahun depan.

Pengurus Besar Syarikat National Beverage Palestin, Imad Hindi (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Singapura-Malaysia-Brunei Bottling Investments Group The Coca-Cola Company, Stephen Lusk (kiri) dan Pengurus Besar Singapura-Malaysia-Brunei The Coca Cola Company, Gill Mclaren melawat Kilang Coca-Cola di Bandar Enstek. – Bernama
Pengurus Besar Syarikat National Beverage Palestin, Imad Hindi (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Singapura-Malaysia-Brunei Bottling Investments Group The Coca-Cola Company, Stephen Lusk (kiri) dan Pengurus Besar Singapura-Malaysia-Brunei The Coca Cola Company, Gill Mclaren melawat Kilang Coca-Cola di Bandar Enstek. – Bernama

“Untuk barisan pengetinan, sama seperti tin 330 mililiter, kami akan mengeluarkan Coca-Cola, Coca-Cola Light, Coca-Cola Zero, Fanta (oren, epal hijau dan strawberi), Sprite dan Sprite Light.

“Bagi barisan PET, kami akan mengeluarkan tiga saiz berbeza namun fokus utama kami ialah botol bersaiz dua liter bagi pengguna di Gaza selain 1.25 liter 500 mililiter,” katanya.

Imad berkata kilang Coca-Cola di Gaza akan beroperasi pada kapasiti penuh menjelang 2017, meliputi ruang seluas 8,000 meter persegi dan mewujudkan 300 pekerjaan langsung serta 3,000 pekerjaan tidak langsung.

Diwujudkan oleh sekumpulan ahli perniagaan Palestin pada 1998, NBC bermula dengan kilang di Ramallah bersama 47 pekerja.

Hari ini ia menggaji 400 sekutu di tiga kilang pembotolan di Ramallah, Jericho dan Tulkarem dengan tujuh pusat pengedaran serta membuka 4,000 peluang pekerjaan tidak langsung dalam rantaian bekalannya.

NBC merupakan syarikat terbesar dalam sektor makanan dan minuman di Palestin serta dilesenkan dengan The Coca-Cola Company bagi mengeluarkan minuman ringan berkarbonat berkualiti, air mineral dan jus.

Portfolio produk NBC termasuk Coca-Cola, Coca-Cola Light, Coca-Cola Zero, Sprite, Sprite Light, Fanta Oren, Fanta Strawberi, Cappy, Arwa dan Jricho. Coca-Cola adalah majikan ketiga terbesar dan pelabur kelima terbesar di Palestin.

Lawatan Imad itu turut disertai oleh Stephen Lusk, Ketua Pegawai Eksekutif The Coca-Cola Company, Bottling Investment Group, Singapura, Malaysia & Brunei.