Coincheck ganti kerugian pelanggan

TOKYO, 13 Mac – Pertukaran mata wang maya yang berpusat di Jepun, Coincheck berkata hari ini ia telah membayar balik lebih AS$440 juta kepada para pelanggannya berikutan penggodaman ke atas sistemnya, yang merupakan salah satu kecurian terbesar seumpamanya. Syarikat itu berkata ia telah menggunakan dana sendiri untuk membayar AS$440 juta kepada kesemua 260,000 pelanggan yang kehilangan pegangan mereka dalam NEM, iaitu satu mata wang kripto yang terkenal.

“Prosedur pembayaran balik telah selesai ke semua akaun 260,000 pelanggan,” menurut jurucakap syarikat Yosuke Imai kepada AFP.

Penggodam telah mencuri sebanyak 523 juta unit mata wang kripto daripada Coincheck yang bernilai AS$547 juta semasa digodam pada 26 Januari, melebihi AS$480 juta yang dicuri dalam bitcoin pada 2014 daripada pusat pertukaran Jepun yang lain, MtGox.

Insiden penggodaman 2014 telah menyebabkan Jepun untuk mengenakan peraturan baharu yang menghendaki pusat pertukaran untuk memperoleh lesen daripada kerajaan, namun Coincheck telah diberi kebenaran untuk meneruskan operasi sementara Agensi Perkhidmatan Kewangan menilai permohonannya.

Gambar fail menunjukkan Presiden Coincheck Koichiro Wada tunduk meminta maaf semasa sidang media di Tokyo. Syarikatnya telah membayar AS$440 juta kepada kesemua pelanggan yang mengalami kerugian akibat digodam pencuri. – AP

Pihak berkuasa telah melancarkan serbuan ke atas pejabat Coincheck bulan lalu dan memberi tamparan kepadanya dengan mengenakan sekatan.

Ketua pegawai operasi Coincheck, Yusuke Otsuka berkata minggu lalu bahawa sistem syarikat telah diceroboh selepas beberapa orang pekerjanya membuka pesanan e-mel yang mengandungi malware.

Dia menambah, firmanya telah gagal untuk mengemas kini sistemnya bagi mengikuti perkembangan yang pesat dalam pasaran mata wang kripto.

Pada Februari lalu, tujuh plaintif yang terdiri daripada dua buah syarikat dan lima individu telah memfailkan tindakan undang-undang terhadap Coincheck untuk mendapatkan pembayaran semula sebanyak 19.53 juta yen yang hilang. – AFP