Coke, Pepsi biayai kumpulan kesihatan

Coke, Pepsi biayai kumpulan kesihatan

NEW YORK, 13 Okt – Coca-Cola dan Pepsi, dua syarikat soda utama di Amerika Syarikat (AS), telah memberikan berjuta-juta dolar kepada pertubuhan kesihatan sementara memerangi langkah anti-obesiti seperti cukai ke atas minuman ringan, satu kajian baru menunjukkan.

Coca-Cola Co dan PepsiCo, dari 2011 hingga 2015, telah menaja 96 pertubuhan kesihatan negara yang bergelut dengan masalah kesihatan awam seperti obesiti, diabetes dan penyakit jantung, kata penyelidikan yang disiarkan dalam Jurnal Ubat Pencegahan Amerika.

Dalam tempoh yang sama, kedua-dua syarikat soda itu melobi menentang 29 rang undang-undang kesihatan awam yang bertujuan mengurangkan pengambilan soda atau mempertingkatkan nutrisi.

“Syarikat berkenaan melobi ke atas campur tangan kesihatan awam dalam 97 peratus daripada kes, mempersoalkan komitmen untuk mempertingkat kesihatan awam,” kata penulis kajian Daniel Aaron dan Michael Siegel daripada Universiti Boston.

“Dengan menerima pembiayaan daripada syarikat berkenaan, pertubuhan kesihatan secara tidak sengaja mengambil bahagian dalam pelan pemasaran mereka,” mereka mengingatkan.

Kebanyakan penerima sumbangan syarikat adalah pertubuhan swasta, sementara sesetengahnya merupakan sebahagian daripada kerajaan persekutuan AS, seperti Pusat untuk Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Sumbangan telah menjadi lebih besar dalam beberapa tahun ini, di samping kempen kesihatan awam yang dikaitkan dengan minuman ringan kepada tahap obesiti yang meningkat di negara – mempunyai kaitan rapat dengan diabetes yang tersebar luas.

Coca-Cola baru-baru ini mendedahkan ia telah membelanjakan lebih daripada AS$120 juta sejak 2010, membiayai kajian saintifik, perkongsian dengan kumpulan yang menentang obesiti dan melobi.

Menurut Pusat Politik Responsif – pertubuhan bebas bukan berasaskan keuntungan – PepsiCo secara purata telah membelanjakan AS$3 juta setahun ke atas lobi sejak 2011.

Dengan menyokong pertubuhan kesihatan, syarikat berusaha mempertingkat imej muhibah mereka dengan orang awam untuk mengalih perhatian daripada kempen lobi mereka. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA