Coleman: Biarkan berlalu

Coleman: Biarkan berlalu

UEFA-Euro-2016-Logo

LENS, 17 Jun (AFP) – Pengurus Wales, Chris Coleman menggesa pasukannya untuk melupakan kekecewaan tewas 1-2 kepada England, malam tadi apabila mereka bakal berdepan Rusia pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan di EURO 2016.

Sepakan percuma Gareth Bale meletakkan Wales mendahului di Stade Bollaert-Delelis, Lens, tetapi England bangkit pada separuh masa kedua untuk menyamakan kedudukan menerusi pemain gantian Jamie Vardy sebelum Daniel Sturridge menjaringkan gol kemenangan pada minit akhir yang dramatik.

Peluang untuk layak ke pusingan 16 terakhir masih kekal di tangan Wales menjelang pertemuan terakhir Kumpulan B menentang Rusia di Toulouse, Selasa ini.

“Tewas pada minit terakhir – saya tidak boleh katakan yang tidak pernah merasa kecewa seperti ini apabila jaringan itu dihasilkan, tetapi itulah yang saya rasa,” kata Coleman. “Kami perlu meletakkannya di belakang dan bersedia untuk berdepan Rusia.”

Wales kekal dalam kedudukan yang kukuh selepas kemenangan 2-1 mengatasi Slovakia pada perlawanan pembukaan, manakala Rusia hanya mengumpul satu mata susulan keputusan seri 1-1 dengan England dan kalah 1-2 kepada skuad bimbingan Marek Hamsik, Slovakia kelmarin.

“Rusia mempunyai pengalaman. Mereka pasti merasa kesakitan selepas tewas kepada Slovakia, tapi semuanya bergantung pada perlawanan terakhir ini.

“Pasukan mana yang dapat meletakkan kekecewaan di belakang selepas pertengahan pusingan kumpulan, mereka yang akan menang,” kata Coleman.

“Semua orang berkata betapa pentingnya untuk memenangi perlawanan pertama. Kami melakukannya dan kemudian, satu perlawanan selepas itu, segala-galanya adalah perlu menang lagi.