Coleman tinggalkan Wales selepas Piala Dunia

Coleman tinggalkan Wales selepas Piala Dunia

CARDIFF (Wales), 10 Julai – Chris Coleman yang cemerlang mengendali Wales sehingga mara ke separuh akhir Euro 2016, mengumumkan bahawa kempen Piala Dunia 2018 adalah pentas terakhirnya buatnya sebagai pengendali skuad berkenaan.

Pengendali berusia 46 tahun itu membawa Wales ke pusingan akhir pertama mereka sejak Piala Dunia 1958 dan menyaksikan kempen menakjubkan itu ditamatkan oleh Portugal.

“Saya pasti ia adalah kempen terakhir saya tanpa mengira sama ada kami layak atau tidak (Piala Dunia 2018),” kata Coleman yang akan memulakan kempen kelayakan bertemu Moldova pada 5 September di laman sendiri.

Coleman pernah mengendali kelab-kelab di England, Sepanyol dan Greece sebelum menjadi pengendali Wales pada Januari 2012 berikutan kematian tragik teman rapatnya sejak kecil, Gary Speed yang memegang jawatan itu.

Lima bulan sebelum itu, Wales tergelincir ke ranking terburuknya di tangga ke-117 dunia, dan walaupun memulakan kempen dengan empat kekalahan berturut-turut, Coleman kini menikmati era paling gemilang bersama negaranya. – AFP

Coleman tinggalkan Wales selepas Piala Dunia 2018. - AFP
Coleman tinggalkan Wales selepas Piala Dunia 2018. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA