Colombia lakar kejutan terbesar

Colombia lakar kejutan terbesar

MONCTON, New Brunswick, 16 Jun (Reuters) – Colombia membuktikan kehadiran mereka dalam Piala Dunia Wanita 2015 bukan sekadar pelengkap jadual apabila mengejutkan pasukan No. 3 dunia, Perancis 2-0 semalam untuk merampas kedudukan pendahulu Kumpulan F.

Lady Andrade meletakkan Colombia di depan pada minit ke-19, sebelum Catalina Usme menjadikan kedudukan 2-0 ketika permainan memasuki minit ketiga waktu kecederaan di Moncton.

Ini merupakan kemenangan pertama buat skuad Las Cafeteras dalam Piala Dunia, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam dua perlawanan.

Colombia yang mengumpul empat mata, sebelum ini berjaya mengikat Mexico 1-1 menerusi jaringan lewat minit dalam perlawanan pembukaan, minggu lalu.

Mereka kini akan berdepan England dalam perlawanan terakhir kumpulan di Montreal, Khamis ini. England, yang menumpaskan Mexico 2-1 kini menghuni tangga kedua.

Midfield Colombia, Angela Clavijo (kiri) bersaing dengan midfield Perancis, Camille Abily (tengah) dalam aksi Piala Dunia di Stadium Moncton, New Brunwick kelmarin. – AFP
Midfield Colombia, Angela Clavijo (kiri) bersaing dengan midfield Perancis, Camille Abily (tengah) dalam aksi Piala Dunia di Stadium Moncton, New Brunwick kelmarin. – AFP

“Kami membuktikan kehadiran kami di sini bukan pelengkap pertandingan, sebaliknya kami mampu memberi cabaran hebat.

“Kami akan berjuang untuk merebut setiap bola kerana pemain saya adalah seorang pejuang,” kata jurulatih Colombia, Fabian Taborda.

Penjaga gol Colombia, Sandra Sepulveda dianggap watak utama di sebalik kejayaan pasukannya apabila menafikan banyak percubaan Perancis.

“Ada banyak faktor yang mendorong kekalahan ini. Pertama, hantaran kami kurang tepat dan kedua, penjaga gol mereka luar biasa,” kata jurulatih Perancis, Philippe Bergeroo.

ARTIKEL YANG SAMA