Colombia, pemberontak FARC capai perjanjian usaha pencarian

Colombia, pemberontak FARC capai perjanjian usaha pencarian

HAVANA, 18 Okt – Kerajaan Colombia dan pemberontak FARC mencapai satu perjanjian semalam untuk mencari beribu-ribu orang yang hilang dan diandaikan mati dalam konflik berusia beberapa dekad itu, dalam satu langkah lanjut untuk mencapai perdamaian, kata diplomat.

Pertempuran di antara kedua-dua pihak telah membunuh lebih daripada 220,000 orang dan menyingkirkan enam juta sejak Angkatan Bersenjata Revolusi Colombia (FARC) dilancarkan pada 1964 selepas pemberontakan petani.

Namun Bogota dan gerila berhaluan kiri memulakan rundingan perdamaian di ibu negara Cuba Havana pada November 2012 dan mengumumkan satu kejayaan besar pada bulan lalu.

Perjanjian yang dicapai semalam memulakan langkah untuk mencari dan mengesan mereka yang hilang, serta mengenal pasti dan memulangkan mayat mereka, beritahu diplomat Cuba Rodolfo Benitez kepada wartawan.

Ia juga menubuhkan satu unit khas untuk menumpu pada tugas tersebut dengan sokongan daripada Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah dan Institut Perubatan dan Sains Forensik Nasional Colombia, tambah beliau.

Unit baru itu akan berusaha menentukan jumlah sebenar orang yang hilang, dianggarkan pada kira-kira 51,000. Diplomat Norway Dag Nylander berkata unit tersebut akan memperkukuh dan mengemas kini proses untuk mengenal pasti mayat, serta menyelaras dan mempercepat proses mencari dan mengenal pasti.

Cuba dan Norway sedang mempelopori proses perdamaian dan diplomat bertemu dengan media di depan wakil daripada kedua-dua pihak.

Bogota dan pemberontak bersetuju untuk berkongsi maklumat mengenai mereka yang hilang dan di mana mangsa telah dikebumikan, kata diplomat. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA