Colombia ujian sukar Argentina

Colombia ujian sukar Argentina

MONTEVIDEO, 16 Nov (AFP) – Jurulatih Argentina Gerardo Martino berkata kelayakan Piala Dunia 2018 di Colombia adalah perlawanan mesti menang bagi pasukannya yang mengalami kecederaan selepas dikecewakan Brazil yang beraksi dengan 10 pemain.

Keputusan di Buenos Aires Jumaat lalu di mana Brazil bangkit untuk menyamakan kedudukan 1-1, bermakna Argentina masih belum mencatatkan kemenangan selepas tiga perlawanan dalam kempen kelayakan Amerika Selatan, dengan hanya dua mata daripada kemungkinan sembilan.

“Kami perlu menang di Colombia,” kata Martino selepas menyaksikan pasukannya yang dilanda kecederaan melibatkan bintang seperti Lionel Messi dan Sergio Aguero, agak dominan menentang Brazil tetapi gagal untuk keluar dengan tiga mata penuh.

“Kami tidak perlu melihat kedudukan untuk mengetahui kami perlu menang,” katanya. “Persaingan di Colombia tidak akan sama seperti di Brazil,” tambah bekas pengurus Barcelona itu. “Kami perlu mencuba untuk mengawal permainan tetapi saya percaya kami akan menghadapi pasukan yang akan melakukan lebih banyak serangan.”

Colombia yang berada di tangga keenam dalam 10 pasukan Amerika Selatan, akan beraksi tanpa penyerang Atletico Madrid, Jackson Martinez yang cedera buku lali semasa seri 1-1 di Chile minggu lalu.

Martino (kanan) mengendalikan pasukannya menjalani latihan di Ezeiza, Buenos Aires pada 10 November lalu. – AFP
Martino (kanan) mengendalikan pasukannya menjalani latihan di Ezeiza, Buenos Aires pada 10 November lalu. – AFP

Carlos Sanchez dan Santiago Arias juga tidak dapat beraksi kerana mengutip dua kad kuning. Midfield Edwin Cardona berkata, Colombia sedar dengan ancaman Argentina walaupun tanpa Messi.

“Mereka mempunyai pemain hebat,” dia memberitahu wartawan. “Walaupun tanpa beberapa pemain utama, mereka mempunyai pemain berkualiti untuk menggantikan kekurangan itu.

“Argentina akan menguasai bola dan banyak menyerang. Ezequiel Lavezzi dan Angel Di Maria begitu menyerlah. Kuncinya adalah untuk menguasai bola.”

Brazil yang kempennya juga bermula goyah dengan kekalahan di Chile, akan cuba untuk mengukuhkan cengkaman mereka di tempat keempat apabila menghoskan Peru di Arena Fonte Nova di Salvador.