Colombia, Venezuela perbaharui hubungan diplomatik

Colombia, Venezuela perbaharui hubungan diplomatik

QUITO, 13 Sept (AFP) – Menteri luar negeri Colombia dan Venezuela mencapai persetujuan semalam untuk memperbaharui hubungan diplomatik yang telah pun terjejas oleh krisis sempadan berterusan di antara kedua-dua negara jiran.

Duta dari setiap negara telah pun dipanggil pulang pada lewat Ogos selepas ketegangan mengenai krisis bertambah teruk.

Bagaimanapun, Menteri Luar Colombia Maria Angela Holguin dan rakan sejawatan Venezuela, Delcy Rodriguez, gagal mencapai persetujuan pada satu pertemuan presiden masing-masing untuk menyelesaikan krisis berkenaan, menurut satu kenyataan bersama.

Ia meninggalkan kira-kira 20,000 penduduk Colombia dalam keadaan terawang-awang.

Venezuela telah menghantar kira-kira 1,500 warga Colombia yang tinggal di Venezuela sejak krisis bermula, dan lebih daripada 18,500 yang lain telah melarikan diri kerana takut, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Bogota dan Caracas telah terbabit dalam pertengkaran sejak Presiden Nicolas Maduro menutup sebahagian daripada sempadan bersama mereka pada 19 Ogos, menyalahkan tentera separa Colombia atas satu serangan ke atas peronda anti-penyeludupan Venezuela.

Maduro menuduh Colombia melancarkan satu “serangan ke atas ekonomi Venezuela,” satu rujukan kepada penyeludupan berleluasa barangan bersubsidi keluar dari negara sosialis itu.

Satu mesyuarat di antara Holguin dan Rodriguez sebelum ini pada 26 Ogos gagal menamatkan perang mulut di antara kedua-dua negara itu.

Kerajaan Ecuador dan Uruguay telah mendesak pegawai di Bogota dan Caracas supaya menyelesaikan perselisihan mereka, dan mengatur mesyuarat untuk menteri luar di Quito.

Menteri-menteri mencatat “kemajuan memuaskan” dalam mengatasi “isu sensitif berkenaan,” dan akan berunding dengan pemimpin masing-masing mengenai rancangan untuk mengadakan mesyuarat presiden, kata satu kenyataan bersama yang dibaca oleh Menteri Luar Ecuador Ricardo Patino.