Colombia, Venezuela setuju buka semula sempadan

Colombia, Venezuela setuju buka semula sempadan

PUERTO ORDAZ, Venezuela, 12 Ogos – Venezuela dan Colombia bersetuju semalam untuk membuka semula sempadan lintasan pejalan kaki antara negara-negara mereka, selepas setahun sempadan itu ditutup Venezuela berikutan isu pertikaian ke atas keselamatan dan penyeludupan.

Presiden Colombia, Juan Manuel Santos berkata beliau dan rakan sejawatannya dari Venezuela bersetuju untuk membuka lima lintasan pejalan kaki selama 15 jam sehari dari hari Sabtu.

“Apa yang kita akan lakukan adalah membuka sempadan secara beransur-ansur,” Santos memberitahu kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan Presiden Venezuela Nicolas Maduro.

“Ia akan menjadi jadual pembukaan sementara semasa kita belajar dan menyesuaikan diri dengan keputusan supaya setiap langkah yang diambil adalah tepat dan positif.”

Maduro berkata beliau berharap pembukaan semula itu akan membawa kepada “sempadan keamanan baru” dan “satu permulaan baru bagi hubungan ekonomi dan perdagangan.”

Manuel Santos (kiri) dan Nicolas Maduro semasa pertemuan mereka di Puerto Ordaz, Venezuela, semalam. Kedua-dua pemimpin Amerika Selatan itu bertemu untuk menilai keadaan di sempadan Venezuela-Colombia, dan untuk membincangkan kemungkinan membuka semula pintu sempadan yang ditutup selama hampir setahun. – AP

Santos berkata, mereka akan meneruskan perbincangan tentang kemungkinan pembukaan sempadan kepada kenderaan kargo.

Beliau menambah bahawa mereka telah membincangkan kemungkinan menubuhkan stesen minyak Venezuela di sebelah Colombia di mana Venezuela dapat menjual petrol itu.

Pada rundingan di bandar Venezuela timur Puerto Ordaz, para pemimpin berkata mereka mengkaji semula laporan oleh penasihat mereka mengenai penyeludupan dan keselamatan rentas sempadan.

Keselamatan adalah menjadi isu utama di sempadan, kata Santos. Kedua-dua negara minggu ini menubuhkan satu inisiatif bersama untuk memerangi jenayah terancang. – AFP