Concept dilantik pengedar rasmi produk Microsoft

Concept dilantik pengedar rasmi produk Microsoft

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Okt – Microsoft secara rasmi telah mengumumkan bahawa Concept Technologies dilantik sebagai sebuah syarikat berlesen sebagai pengedar produk Microsoft di Negara Brunei Darussalam.

Pengurus Negara Microsoft Brunei, Dayang Haniza binti Zakariya pada sidang media mengumumkan pelantikan berkenaan di Pejabat Microsoft, Bangunan PGGMB, di sini, hari ini, berkata pelantikan Concept Technologies adalah kritikal ketika Microsoft berdepan transformasi pantas daripada model perniagaan berasaskan lesen tradisional kepada pengkomputeran sebagai perkhidmatan menerusi perkhidmatan cloud mereka.

“Dalam transformasi ini, kita perlu bekerjasama dengan perkongsian tempatan untuk menyelaraskan misi baru kami mengenai mereka cipta semula produktiviti, membangunkan cloud yang lebih pintar dan memacu pengkomputeran peribadi yang lebih pantas, murah dan lebih dipercayai ke Brunei,” ujarnya.

Concept sudah berpengalaman lebih 15 tahun dalam perniagaan pengguna dan perusahaan kecil dan sederhana di Brunei, membawakan peranti-peranti, perisian dan perkhidmatan berjenama antarabangsa.

Sementara itu, Microsoft pula merupakan pembekal perisian dan cloud terkemuka di dunia dan juga di Brunei dalam semua segmen.

Dayang Haniza ketika menyerahkan surat lantikan sebagai sebuah syarikat berlesen pengedar produk Microsoft kepada Vincent Pao.
Dayang Haniza ketika menyerahkan surat lantikan sebagai sebuah syarikat berlesen pengedar produk Microsoft kepada Vincent Pao.

Dengan perkongsian bijak ini, kedua-dua pihak akan dapat memberi apa yang dianggap terbaik kepada pelanggan.

“Saya benar-benar teruja dengan kejayaan ini. Microsoft telah merentasi satu dekad penubuhan di Brunei dan mempunyai keyakinan serta kepercayaan untuk melantik sebuah syarikat tempatan seperti Concept Technologies merupakan benar-benar satu pembangunan perniagaan setempat bagi kami dan kami bangga untuk bekerjasama untuk mencapai objektif kami di Brunei,” ujar Dayang Haniza.

Beliau seterusnya berkata, Concepts akan menjadi rakan kongsi yang sangat sesuai untuk peralihan pasaran yang lebih baik bagi melaksanakan cara-cara baru penggunaan teknologi dalam memacu hasil yang lebih tinggi.

Turut hadir semasa sidang media itu ialah Pengarah Urusan Concept Technologies, Vincent Pao dan para pengamal media tempatan.

ARTIKEL YANG SAMA