Concept perkenal 4 produk terbaru Epson

Concept perkenal 4 produk terbaru Epson

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Concept Computer Sdn Bhd selaku pengedar jenama Epson di Brunei, hari ini, telah mengadakan Hari Maklumat Epson di cawangan Kiulap, di sini, bagi memperkenalkan empat produk pencetakan dan pengimejan digital terbaru daripada jenama Jepun berkenaan.

Produk-produk tersebut ialah pencetak Epson siri L iaitu Epson L-220, L-355, L-455 dan Epson L565 yang dihasilkan dengan teknologi tangki dakwat berterusan, sekali gus mengatasi kebimbangan utama pelanggan iaitu kos pencetakan yang sangat tinggi.

Menurut kenyataan Concept Computer, barisan pencetak ini menawarkan cetakan berkualiti tinggi pada kos yang rendah, kerana ia dilengkapi tangki dakwat berterusan luaran yang boleh diisi semula, yang belum diubahsuai oleh pihak ketiga.

Pengurus Jualan, Bahagian Runcit, Epson Malaysia Sdn Bhd, Eric Tang semasa menyampaikan taklimat pada acara itu berkata, pengubahsuaian pencetak oleh pihak ketiga merupakan salah satu kebimbangan utama para pembekal penyelesaian pencetak kini, kerana ia menjejaskan kualiti cetakan.

Sebab itulah Epson cuba mengatasinya dengan melaksanakan pe-nyelidikan dan pembangunan untuk menghasilkan lebih banyak pelbagai tangki dakwat berterusan, tambahnya.

Menurutnya lagi, siri L Epson ini merupakan pencetak nombor satu di Asia Tenggara yang mana lebih dua juta unit telah dijual.

Selain itu, ia juga merupakan pencetak sistem tangki dakwat asal yang pertama di dunia dan menawarkan harga rendah bagi setiap botol dakwat yang boleh mencetak sebanyak 4,000 helai kertas.

Sesi taklimat berkenaan telah dihadiri oleh wakil rakan-rakan kongsi niaga Concept Computer Sdn Bhd dan para jemputan yang lainnya.

Model L-220 ialah pencetak paling asas daripada siri berkenaan yang sesuai digunakan di pejabat atau rumah dan kebanyakan pelanggan yang memilih model ini terdiri daripada guru-guru, pendidik dan pelajar.

Epson L-365 pula merupakan pencetak tanpa wayar yang boleh digunakan pada masa yang sama dengan mana-mana PC atau peranti-peranti pintar tanpa wayar yang dihubungkan dengan rangkaian tanpa wayar yang sama.

Manakala itu, L-455 merupakan pencetak canggih yang menyasarkan peminat fotografi amatur, dengan slot kad mikro SD dan paparan LCD.

Epson L-565 pula sesuai bagi perusahaan sederhana atau pejabat besar yang dilengkapi dengan keupayaan pelbagai fungsi termasuk faks selain pilihan sambungan Ethernet, rangkaian tanpa wayar, WiFi Direct dan USB.

ARTIKEL YANG SAMA