Concepts, Schneider meterai MoU

Concepts, Schneider meterai MoU

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mei – Dalam usaha bagi sesebuah perusahaan untuk terus kekal relevan dan mampu menempuh pelbagai cabaran, ia perlu mempunyai pelan perniagaan jangka panjang yang baik serta pengusaha yang cekal menghadapi pelbagai jenis cabaran yang datang.

Nasihat itu dikongsi oleh Pengurus Besar Concepts Computer, Vincent Pao dalam wawancara bersama Media Permata selepas Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Concepts Computer dan Schneider Electric yang berlangsung di Bilik Persidangan Concepts Computer, Kiulap, hari ini.

Menurut Vincent, sebuah perusahaan yang mampu bertahan ialah perusahaan yang mempunyai pelan jangka panjang yang teratur dan yang mempunyai matlamat khusus yang perlu dicapai bagi tempoh masa yang ditetapkan.

Bagi beliau, di samping pelan jangka panjang yang teratur, sokongan padu dari semua kakitangan dan pihak pengurusan perusahaan atau syarikat adalah amat penting kerana aset utama kejayaan syarikat terletak kepada kakitangan yang penuh dedikasi dan yakin dengan pelan pembangunan syarikat.

Vincent Pao (tengah) dan Jefferey Yap (dua, kanan) bergambar bersama para pegawai kanan Concepts Computer dan Schneider Electric.
Vincent Pao (tengah) dan Jefferey Yap (dua, kanan) bergambar bersama para pegawai kanan Concepts Computer dan Schneider Electric.

Bagi pihak Concepts Computer, MoU itu telah dimeterai oleh Vincent Pao dan bagi pihak Schneider Electric ditandatangani oleh Presidennya, Jefferey Yap.

Menerusi penandatanganan itu, kedua-duanya akan bekerjasama untuk mempromosikan produk APC dalam pasaran Brunei Darussalam.

Menurut Vincent lagi, MoU itu merupakan satu langkah penting bagi syarikatnya untuk menyediakan produk berteknologi tinggi bagi kegunaan perniagaan dan persendirian serta menyediakan penyelesaian IT bagi pasaran IT negara.

ARTIKEL YANG SAMA