Concepts taja kejohanan bola keranjang veteran

Concepts taja kejohanan bola keranjang veteran

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Pasukan-pasukan bola keranjang veteran tempatan berpeluang untuk menunjukkan kehebatan mereka apabila Kejohanan Bola Keranjang Piala Veteran Concepts 2016, akan diadakan bermula pada 15 Oktober nanti di Gelanggang Bola Keranjang Persatuan Bola Keranjang Brunei Darussalam, Batu Bersurat, Gadong.

Kejohanan yang kembali untuk tahun kedua anjuran Persatuan Bola Keranjang Brunei (BBA), sekali lagi mendapat sokongan dan tajaan daripada Concepts Computer.

Sehubungan dengan itu, pengumuman kejohanan dan penyerahan tajaan bagi kejohanan itu diadakan di Concepts Computer, Kiulap, hari ini, di mana tajaan berkenaan diserahkan oleh Pengurus Besar Concepts Computer, Vincent Pao kepada Pengerusi BBA, Lim Ting Guan.

Hadir untuk turut menyaksikan penyerahan tajaan berkenaan ialah ahli-ahli jawatankuasa BBA serta eksekutif kanan dari Concepts Computer.

c_23092016

Menurut BBA, penganjuran kejohanan tersebut merupakan inisiatif tahunan persatuan itu untuk mempromosikan gaya hidup sihat bagi mereka yang berusia 40 tahun ke atas serta untuk meningkatkan kesedaran mengenai sukan bola keranjang dalam kalangan orang ramai.

Kejohanan itu merupakan kejohanan tahunan yang dibukakan kepada pasukan-pasukan yang dianggotai oleh pemain-pemain veteran yang berusia 40 tahun ke atas bagi warganegara dan penduduk tetap Brunei serta warga asing yang mempunyai kad pengenalan Negara Brunei Darussalam yang sah.

Menurut BBA, penyertaan bagi menyertai kejohanan itu kini sudah dibuka di mana yuran penyertaan bagi setiap pasukan adalah sebanyak $300. Pasukan-pasukan yang berminat untuk menyertai kejohanan berkenaan boleh mendapatkan borang penyertaan serta maklumat lanjut di Pejabat BBA atau menghubungi, Ang di talian 8897449, di mana tarikh tutup bagi menyertai kejohanan berkenaan ialah pada 9 Oktober.

ARTIKEL YANG SAMA