Conte abaikan permintaan Costa

Conte abaikan permintaan Costa

LONDON, 16 Okt – Antonio Conte mendedahkan dia mengabaikan permintaan Diego Costa untuk ditukarkan kerana tidak sanggup kehilangan keghairahan penyerang sensasi Chelsea itu yang dianggap sebagai terlalu penting.

Costa mencetak jaringan ketujuhnya dalam aksi Liga Perdana Inggeris malam tadi, tatkala Chelsea mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas juara bertahan Leicester di Stamford Bridge.

Tetapi bintang kontroversi Sepanyol itu masih sempat mencetuskan kekecohan apabila memberi isyarat mahu ditukarkan pada minit ke-70, tetapi percubaannya itu gagal untuk meyakinkan pengurus Chelsea, Conte Costa hanya kekurangan satu kad kuning untuk digantung bagi pertemuan menentang Manchester United, di laman sendiri, Ahad ini.

Ketika mereka sedang mendominasi Leicester, dia memberi isyarat mahu ditukarkan.

Malah, pada satu ketika dia memegang kakinya sebagai memberitahu dia berdepan dengan masalah kecederaan di hujung perlawanan, tetapi Conte tidak mengendahkannya.

Sebaliknya, Conte menyifatkan tindakan tegasnya itu kerana tidak mahu kehilangan keghairahan dan kesungguhan Costa walaupun untuk tempoh beberapa minit.

“Sekiranya boleh saya mahu menyimpan Costa di dalam padang sehingga ke wisel penamat. Costa adalah pemain yang begitu penting buat kami,” kata Conte.

“Diego berada dalam keadaan terbaik. Dia mempunyai keghairahan yang tinggi dan kami perlukan ini pada setiap saat dalam perlawanan.”

“Saya tahu saya mengambil risiko kerana jika Costa mengutip satu lagi kad kuning dia akan terlepas aksi selepas ini. Saya menentukan pertukaran pemain. Saya sentiasa akan bertanggungjawab dalam apa jua situasi, tidak kira baik atau buruk.” – AFP