Conte bidas pengkritik ‘dengki’

Conte bidas pengkritik ‘dengki’

LONDON, 4 Jan – Pengurus Chelsea, Antonio Conte (gambar) mendakwa ejekan yang dilemparkan kepada pendahulu Liga Perdana itu oleh pengkritik termasuk Jose Mourinho adalah kerana rasa dengki mereka.

Mourinho yang juga pengurus Manchester United, yang dipecat dalam tempoh keduanya di Chelsea musim lalu, berkata kelab lamanya itu dan Tottenham Hotspurs diberikan jadual ‘istimewa’ apabila pertembungan kedua kelab London berkenaan hanya berlangsung awal pagi esok.

Ia memastikan The Blues, yang sedang memburu rekod 14 kemenangan berturut-turut dalam liga memiliki satu hari tambahan antara perlawanan dan ia juga mencetuskan rasa tidak puas hati daripada pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.

Namun Conte berkata, Mourinho mendapat ‘motivasi’ itu hanya daripada kekecewaan kerana kedudukan baik Chelsea dalam pemburuan gelaran liga.

“Saya boleh menjawab bahawa saya tidak membuat jadual,” kata Conte kepada wartawan, semalam.

“Saya rasa mereka kini marah kerana kedudukan kami, bukan kerana jadual.

“Ia perkara normal. Ini juga berlaku di Itali. Saya ulangi: Ia sentiasa berlaku kerana anda berada di puncak liga.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA