Conte: Chelsea bukan pilihan tunggal

Conte: Chelsea bukan pilihan tunggal

ROM, 22 Mac – Jurulatih Itali, Antonio Conte yang disebut-sebut bakal membimbing Chelsea selepas Euro 2016, menegaskan kelab London itu bukanlah pilihan tunggal dan meletak jawatan daripada skuad kebangsaan adalah sesuatu yang sukar buat dirinya.

Bercakap ketika sidang media di Udine menjelang aksi persahabatan antara Itali dengan Sepanyol, Khamis ini, Conte memaklumkan timbul beberapa perkara yang berada di luar kawalannya sekali gus memaksa dia membuat keputusan meletak jawatan.

“Saya berasa sangat gembira pada Oktober lalu apabila kami layak (ke Euro 2016) dan pada masa itu saya fikir akan meneruskan tugas sebagai jurulatih Itali. Namun, sejak itu ada beberapa perkara yang menjadi sukar, jadi saya perlu membuat keputusan,” kata Conte.

Conte yang membantu Itali mara ke final Piala Dunia 1994 ketika era sebagai pemain selain membawa Juventus menjulang gelaran Serie A sebanyak tiga kali sebagai jurulatih, sudah tidak sehaluan dengan pengurusan Persatuan Bola Sepak Itali berhubung penjadualan dan program skuad kebangsaan.

Situasi itu menyaksikan Conte, 46, yang mula membimbing Itali pada Ogos 2014 membuat pengumuman rasmi akan meletak jawatan daripada tugas itu.

Menurut laporan media di Britain dan Itali, Chelsea sudah menandatangani kontrak bersama Conte.

“Kita tunggu dan lihat mengenai masa depan saya.

Chelsea bukanlah perkara utama tetapi saya boleh menambah beberapa nama kelab Itali untuk itu. Saya mahu membimbing kelab selepas ini,” kata Conte.

Conte akan menyaksikan anak buahnya bersaing dalam Kumpulan E bersama Belgium, Sweden dan Ireland pada kempen Euro 2016 yang berlangsung di Perancis bermula 10 Jun hingga 10 Julai depan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA