Conte kalah kali pertama sejak latih Itali

Conte kalah kali pertama sejak latih Itali

GENEVA, 18 Jun (Agensi) – Portugal menewaskan Itali 1-0 dalam perlawanan persahabatan di Geneva semalam untuk memberikan kekalahan pertama kepada Antonio Conte sebagai jurulatih pasukan kebangsaan.

Eder menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-52, sekali gus membantu Portugal mencatat kemenangan pertama ke atas Itali dalam tempoh 39 tahun.

Sebelum itu, rembatan pemain pertahanan Itali, Leonardo Bonucci terkena palang pada awal permainan.

Keputusan tersebut memberi tamparan hebat kepada harapan Itali untuk diletakkan sebagai pasukan pilihan dalam undian kelayakan Piala Dunia 2018. Undian itu, yang dijadualkan berlangsung pada 25 Julai ini, dijangka menggunakan ranking FIFA terkini.

“Saya tidak tahu mengapa Itali ketinggalan di belakang beberapa negara lain. Jelas sekali, ini adalah disebabkan oleh (kelemahan) era sebelum ini. Kami sudah bekerja keras, namun masih banyak perkara yang kami perlu lakukan.

Penyerang Portugal, Eder (bawah) melihat bola sepakannya melepasi jangkauan penjaga gol Itali, Salvatore Sirigu (tengah) dalam aksi persahabatan di Geneva semalam. – AFP
Penyerang Portugal, Eder (bawah) melihat bola sepakannya melepasi jangkauan penjaga gol Itali, Salvatore Sirigu (tengah) dalam aksi persahabatan di Geneva semalam. – AFP

“Terdapat perubahan dalam generasi, tetapi perlawanan ini membantu anda untuk mematangkan permainan,” katanya.

Mengenai perlawanan semalam Conte berkata: “Saya sama sekali tidak kecewa. Ketika ini, kami tidak boleh memandang ke depan atau masa lalu. Perlawanan-perlawanan ini adalah ujian yang penting…kalah beberapa perlawanan kadang-kadang bagus juga,” kata Conte.

Itali telah menang lima daripada sembilan perlawanan terakhir sejak Conte menggantikan Cesare Prandelli selaku pengendali skuad Azzurri selepas mereka sekadar menamatkan kempen di peringkat kumpulan Piala Dunia.

Kedua-dua pasukan itu memulakan perlawanan semalam selepas masing-masing hampir mengesahkan diri ke Kejohanan Eropah berdasarkan keputusan kempen kelayakan minggu lepas.

Itali terikat 1-1 dengan Crotia, manakala Portugal bangkit daripada ketinggalan menerusi ledakan hatrik Cristiano Ronaldo untuk menumpaskan Armenia 3-2.

ARTIKEL YANG SAMA