Conte ubah gaya Chelsea

Conte ubah gaya Chelsea

LONDON, 6 April – Etika kerja yang ketat, kebijaksanaan taktikal serta keupayaan memupuk semangat berpasukan luar biasa, kesemua ciri-ciri tersebut menjadikan jurulatih Itali, Antonio Conte sebagai pemenang yang diiktiraf di negaranya sendiri dan mengapa Chelsea memilihnya untuk mengubah nasib kelab itu di England.

Conte, 46, akan berpindah ke Stamford Bridge sebagai Ketua Jurulatih sebaik Euro 2016 berakhir Julai ini selepas menandatangani kontrak tiga tahun.

Bekas pemain tengah antarabangsa Itali itu, yang pernah mewaikili negaranya sebanyak 20 kali dan lebih 400 kali bersama Juventus bakal berdepan cabaran besar untuk membawa kembali Chelsea ke puncak Liga Perdana Inggeris selepas kegagalan musim ini.

Dinamakan sebagai Ketua Jurulatih baharu kelab, kelmarin, kehadirannya ke England bagaimanapun dialu-alukan oleh pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino, yang menyifatkan Conte sebagai salah seorang jurulatih terbaik di dunia.

Conte bergambar bersama peminat sebelum perlawanan persahabatan Itali dan Sepanyol di Stadium Friuli, Udinese pada 24 Mac lalu. Conte sebagai pemenang yang diiktiraf di negaranya sendiri, telah dipilih oleh Chelsea untuk mengubah nasib kelab itu musim depan. - Reuters
Conte bergambar bersama peminat sebelum perlawanan persahabatan Itali dan Sepanyol di Stadium Friuli, Udinese pada 24 Mac lalu. Conte sebagai pemenang yang diiktiraf di negaranya sendiri, telah dipilih oleh Chelsea untuk mengubah nasib kelab itu musim depan. – Reuters

Andre Pirlo, legenda Itali, yang pernah bermain untuk Conte di Juventus, dalam autobiografinya berkata: “Apabila dia bercakap, kata-katanya akan menyerang anda. Anda akan rasa seperti pintu anda dirempuh, dikasari dan ia betul-betul menusuk ke dalam hati anda.”

Conte, dalam banyak hal, sebenarnya tidak banyak jauh berbeza dengan Jose Mourinho, yang mengetuai Chelsea menjulang gelaran musim lalu, tetapi meninggalkan kelab tujuh bulan selepas itu, setelah The Blues memulakan kempen terburuk.

Persamaan yang ada pada kedua-dua pengurus itu ialah kepercayaan kuat bagi mendapatkan benteng pertahanan ampuh, dengan Conte berpegang teguh kepada formasi 3-5-2 yang ternyata membawa kejayaan buat Juventus merangkul tiga gelaran berturut-turut.

Taktik tersebut bakal menjelmakan perubahan segera ke atas gaya permainan Chelsea kerana di bawah Mourinho dan pengurus sementara, Guus Hiddink, mereka meletakkan empat pemain di benteng pertahanan dengan pendekatan yang agak terhad di bahagian tengah.

Antara keputusan awal yang perlu dibuat Conte ialah mengenai masa depan kapten kelab dan juga bek tengah Chelsea, John Terry, yang akan menginjak usia 35 tahun pada Disember ini. – Reuters